Sinar Harian: Remaja bawah umur ditahan
SHAH ALAM – Remaja bawah umur: antara sembilan yang ditahan dalam dua serbuan premis mesin judi di Petaling Jaya, jam 3.30 petang kelmarin.
Serbuan dijalankan oleh Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.
Ketika serbuan diketuai Superintenden Maszely Minhad itu dibuat, tujuh individu sedang leka bermain judi dan tidak menyedari kehadiran polis.
“Kita ambil keterangan daripada semua pelanggan yang berusia antara 23 dan 58 tahun untuk membantu siasatan.
“Kita tahan dua penjaga premis, seorang lelaki berusia 30 tahun dan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau berkata, polis juga merampas 74 komputer yang diubahsuai menjadi mesin judi dan wang RM1,200.
“Siasatan menunjukkan premis itu menyediakan makanan ringan serta minuman untuk menarik pelanggan,” katanya.
Maszely berkata, pemeriksaan menunjukkan premis yang dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) itu pernah diserbu dua kali sebelum ini, namun pengusaha premis itu masih belum serik.
Dalam perkembangan lain, sebuah premis hiburan di Jalan Doraisamy yang menjadi pusat remaja bawah umur bersuka ria, diserbu polis dalam satu operasi awal pagi semalam.
Ketika diserbu oleh sepasukan anggota dan pegawai daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada jam 2.30 pagi, 76 pengunjung sedang asyik berhibur bersama pasangan masing-masing.
Difahamkan, hasil pemeriksaan mendapati, seramai 52 daripada pengunjung premis adalah remaja bawah umur, yang berpakaian menjolok mata.
Ujian saringan awal air kencing yang dibuat mendapati seorang lelaki berusia 29 tahun positif dadah.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zulkarnain Abdul Rahman berkata, pihaknya turut menahan dua penyelia premis itu kerana membenarkan remaja bawah umur memasuki premis mereka.
“Semua yang diperiksa dibawa ke IPD Dang Wangi untuk tindakan lanjut,” katanya.
BILA IKLAN JUDI BERLELUASA
Ciri-ciri yang ada pada Harian Metro telah mengalahkan berberapa lagi akhbar utama Bahasa Melayu seperti Utusan Malaysia dan Berita Harian.
Dan ketika saya berada di Malaysia, saya diantara golongan yang tidak suka membeli Harian Metro. Walaupun ramai dikalangan sahabat-sahabat saya ketagih membaca Harian Metro.
Mengapa ini berlaku?
Pada pendapat saya, ada berberapa sebab utama yang meningkatkan jualan Harian Metro.
Antaranya disebabkan saiznya yang kecil dan mudah dibaca. Ini dibuktikan apabila akhbar New Strait Times dan Berita Harian merubah saiz besar mereka kepada saiz tabloid hanya untuk meningkatkan jualan.
Dan sebab ke-2, tajuk muka depan Harian Metro yang 'terlalu menarik' sehinggakan sesiapa yang membaca tajuk hadapan pasti ingin membaca apa isinya.
Dan sebab ke-3, akhbar ini dilanggan oleh kaki judi yang sentiasa ambil berat mengenai bilangan nombor dalam Harian Metro.
Dan atas sebab ke-3 inilah maka anda tidak perlu hairan mengapa 'Remaja bawah umur ditahan berjudi' kerana anda adalah apa yang anda baca.
FIKIRAN YANG DIKOTORI SEJAK KECIL
Saya pernah berborak sengan seorang pakcik yang amat menjaga akhlak anak-anaknya. Antara kata-kata memberi kesan terhadap saya dari pakcik tersebut ialah;
"Pakcik memang tidak akan membeli Metro (baca: Harian Metro) bawak balik rumah. Rosak perangai anak-anak pakcik nanti. Depan cerita 'rogol', politik cerita bab 'rasuah', mahakamah cerita bab 'cerai', artis cerita pasal 'hubungan intim', sukan cerita pasal 'pemain mabuk' dan mesti ada keputusan judi kat belakang. Kalau pakcik nampak kat rumah, cepat-cepat pakcik buang dan bakar".
Dan saya akui, ketika melawat rumah pakcik tersebut, memang tidak nampak walaupun
secebis akhbar Harian Metro. Yang ada hanyalah Sinar Harian, Harakah dan begitu banyak majalah dan buku islamic.
Pendidikan yang dibawa oleh pakcik tersebut memang berkesan. Anak-anak beliau bukanlah golongan yang buta info terkini. Anak-anak beliau lebih mendapat info daripada majalah dan akhbar Sinar Harian.
Berbanding dengan berberapa kawan saya yang ketagih Harian Metro, minda mereka bukan dihiasi oleh info-info terkini tetapi kotor dengan berita-berita fitnah dan info dusta oleh akhbar tersebut.
CUKUPLAH RALAT YANG SABAN HARI BERLAKU
Dan mengikut statistik seperti sumber yang saya beri di atas, akhbar fitnah nombor 1 Malaysia (baca: Utusan Malaysia dan Berita Harian) telah mengalami penurunan jualan yang amat ketara. Berbanding dengan berberapa akhbar yang menggunakan konsep hiburan (baca: Harian Metro dan Kosmo!).
Saya menyimpulkan bahawa, antara sebab kurangnya pembaca dikalangan akhbar-akhbar fitnah tersebut adalah kerana berita yang disiarkan seringkali diakhirkani oleh "RALAT: Petikan Utusan Malaysia yang menyatakan N** A*** menipu hanyalah gosip-sosip semata-mata", pada keesokan hari. Berita fitnah tersebut besar dimuka depan, namun ralat hanyalah kecil tidak ubah seperti minda pengarang berita.
Mungkin rakyat sudah muak dengan berita fitnah yang disebarkan mereka, walaupun masih ada sebilangan besar yang masih ketagih berita palsu hasil suruhan pemimpin yang tidak amalkan didikan Islam.
Sudah-sudahlah pembaca akhbar Utusan dan Berita Harian sekalian. Adakah anda sanggup membiarkan diri anda dibodohkan oleh akhbar tersebut. Ubah bacaan anda kepada akhbar yang lebih boleh dipercayai seperti Sinar Harian dan The Sun.
Jangan Utusan dan Berita Harian menyiarkan tajuk lucah di muka hadapan untuk merarik pembeli sudahlah.
AKHBAR ONLINE
Sudah saya menyatakan dalam satu posting yang terdahulu, ketika saya di perantauan semua berita dari Malaysia cukup penting bari saya. Dan saya sering mendapatkan khabar dari Malaysia hanya dengan akhbar online. Sebab tiada siapa yang sanggup hantar akhbar tiap-tiap hari ke sini.
Saya akui lebih mudah dengan akhbar online. Saya akan membuka berberapa windows bagi Google Chrome dan baca sebanyaknya khabar dari Malaysia. Antara laman yang sering dibuka adalah TranungKite, Sinar Harian, Malaysiakini, Mawi FC (forum yang menyiarkan Harian Metro setiap hari tanpa iklan) dan HarakahDaily. Dengan laman Facebook juga saya boleh mendapatkan berita secara pantas.
Berberapa kelebihan apabila kita menggunakan akhbar online.
PERTAMA: Kita membantu mengurangkan kos pemprosesan kertas dan sudah tentu mengurangkan kos pembelian akhbar.
KEDUA: Tidak mencemarkan alam sekitar.
KETIGA: Boleh menilai berita yang sahih dengan lebih mudah.
KEEMPAT: Mengurangkan masa membaca akhbar. Akbar online kita hanya membuka berita yang menfaat sedangkan akhbar live kita perlu membuka tiap-tiap muka.
KELIMA: Otak tidak dikotori dengan iklan judi.
Mengapa tidak selepas ini anda menukar bacaan kepada akhbar online. Lebih banyak menfaat bukan?
MEMBACA JADIKAN IBADAH
Wahai para pembaca blog saya yang saya cintai sekalian, mengapa anda semua tidak menukarkan bahan bacaan anda. Pupuk minat anda untuk membaca bahan artikel islamic dan bermenfaat. Tidak perlu membaca mengenai artis. Dan jika sesiapa diantara anda yang rasa berita mengenai artis penting untuk anda, maka tolong senaraikan apa pentingnya. Tolong senaraikan apa pentingnya menonton drama dan filem, melihat iklan judi, membaca berita fitnah dan seumpamanya.
Saya bukanlah seorang yang berfikiran kolot yang menolak 100% perkara tersebut, namun saya mahu orang yang saya cintai sekalian berfikir adakah kita layak menghuni syurga Allah SWT? Sudah cukupkah amalan kita? Bagaimanakah persediaan kita menghadapi mati dan masyar? Adalah kita hamba yang deredhai Allah SWT?
Islam tidak menolak hiburan, namun hiburan yang berlandaskan syariat itu lebih baik. Adakah anda tidak terhibur dengan membca majalah islamic? Adakah anda tidak terhibur ketika belajar berenang? Adakah lebih baik melihat cerita noda yang dilakukan artis berbanding sejarah sahabat dan sirah pada ambiya'?
Sufyan Bin Unainah pernah ditanya oleh seorang lelaki: "Adakah gurau senda sesuatu yang dilarang?". "Tidak, bahkan ianya sunnah! Tetapi untuk mereka yang tahu menjaga dan meletakkanya di tempat yang sepatutnya", jawab Sufyan.
Juga ketika Ibn Umar ditanya "Adakah sahabat-sahabat nabi ketawa?". "Ya!", kata Umar dan jawabnya lagi "iman mereka setinggi gunung".
Dan banyak gurauan yang dilakukan oleh junjungan Muhammad SAW jika anda mahu saya senaraikan. Islam tidak pernah menolak hiburan namun bagaimana hiburan itu berlaku dan adakah ia tidak melanggar syariat.
Saya memetik kata-kata seorang sahabat;
"Janganlah anda tenang melainkan segala urusan anda adalah ibadah".
Maka berhiburlah sebanyaknya selagi anda merasa ia ibadah. Selagi kita tidak melanggar perintah Allah SWT dalam surah Al Zariat yang bermaksud;
"Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah (taat) dan beribadat kepadaku".
[QS Al Zariat 51 : 56]
SAYA AKAN TUKAR BACAAN SAYA
Saya ingin menyeru kepada pembaca sekalian, mengapa kita semua tidak menukar bahan bacaan kita. Dari sesuatu yang tidak menfaat kepada perkara yang menjerumus kepada ibadah. Mononton perkara-perkara yang meningkatkan daya fikir. Dan menulis perkara-perkara kearah dakwah.
Kita dijadikan hanyalah untuk patuh dan melakukan ibadah kepada Allah SWT. Buatlah apa-apa sahaja di dunia mahupun menonton TV, membaca akhbar, melayari internet selagi kita patuh dan melalukan ibadah kepada-Nya.
Dan untuk patuh dan melakukan perkara hanya kerana-Nya dapat dilakukan jika kita menuntut ilmu, banyakkan membaca al-Quran, hadis juga menghadiri majlis-najlis ilmu.
Mengapa tidak selepas anda membaca artikel saya kita akan berubah, Insya Allah.
Jom nasihat-menasihat di alam maya kerana Allah SWT.
Nota cinta dari
Kaherah, Mesir
9.21 pm 28 November 2010
p/s: Saya sedang mencari rahsia istiqomah. Saya mahu istiqomah dalam banyak perkara. Saya menulis sebagai medium untuk saya ubah diri saya sendiri. Maka saya suka akhirkan posting saya dengan "Jom nasihat-menasihat".