Followers

Thursday, May 17, 2012

GURU DAN KENAKALAN SAYA

Muallim (guru lelaki) dan muallimah (guru wanita) saya ketika belajar di
SMI al Irsyad
Hari ini saya teringat lagi. Teringat akan zaman persekolahan saya. Indah, ibarat syurga kepada dunia. Saya yang telah bersekolah sebanyak 10 buah sekolah. Saya akui, zaman persekolahan saya yang pelbagai sering bertukar sekolah kerana kenakalan saya.

Itu realiti yang telah menghiasi hidup saya. Terdapat berberapa post lama dalam blog ini yang mengisahkan kenakalan remaja, sebahagianya adalah kisah saya. Cuma saya menggunakan nama orang lain.

Zaman bermulanya kenakalan saya pada tingkatan 3. Buat kali pertama saya sekolah berasarama, di sana saya mula bergiat dengan keluar malam, ponteng kelas, ponteng sekolah dan banyak lagi. Mungkin kerana mula menjejakkan kaki ke alam remaja.

Bertapa seringnya saya keluar malam sehinggakan senior asrama sudah tidak boleh menahan saya dari keluar malam. Sudah jemu mereka mendenda saya, dan sebagainya. Sehinggalah satu malam, warden telah memeriksa asrama di tengah malam. Dan disyakki, berberapa senior telah keluar malam.

Jadi, warden telah mengejut semua pelajar asrama dan memeriksa siapa yang tiada. Mungkin kerana mengantuk, saya bangun dengan mamai. Lalu, warden tanya kepada saya, kemana pergi pelajar yang tiada. Dengan sepontan, saya membocorkan rahsia, kerana mengantuk.

Hasilnya, saya di'rojak' malam itu oleh abang-abang senior yang lain. Terima kasih, sebab hasil malam tu, saya sudah boleh lepak sekali dengan senior, dengan syarat tidak membocorkan rahsia. =D

Warden saya, Muallim Mohd Dasuki Mohd Lebar

DITAHAN POLIS, DESEPAK CIKGU

Esok bermula cuti pertengahan penggal, warden mengumumkan bahawa semua pelajar asrama boleh pulang ke rumah selepas solat Jumaat esok petang. Saya begitu gembira, kerana rindu untuk pulang ke Kuala Lumpur. Tiket bas warden telah siap-siap beli untuk pelajar yang akan pulang jauh. Hanya bayar kepada warden.

Tiba-tiba saya berpakat dengan berberapa pelajar lain, keluar asrama hari Khamis malam Jumaat. Hanya sekadar untuk berseronok. Agar esok pagi, semua pelajar masih ke sekolah manakala kami sudah 'enjoy' di bandar Kuantan.

Panjat lagi pagar sekolah di tengah malam. Keluar dan menuju ke Bandar Kuantan, kira-kira 3 batu dari sekolah kami. Dalam perjalanan setelah melakukan pelbagai aktiviti nakal, kami di tahan polis. Van yang menayangkan stiker 'katering' berhenti. Tingkap dibuka, yang ada bukanlah pengusaha katering tetapi pegawai berjaket polis.

Mereka menyoal kami pelbagai soalan. Dan akhirnya, mereka meminta kami untuk menaiki van mareka.

Atas 'kepintaran' salah seorang dari kami menjawab soalan polis, kami akhirnya diturunkan di Masjid Negeri Sultan Ahmad Shah, Kuantan. Alhamdulillah. Menunggu subuh.

Selesai solat, kami sarapan dan bersiap sedia untuk 'enjoy'. Tiba-tiba saya teringat kepada tiket bas saya.

"Alamak, tiket bas tinggal dalam almari!"

Duit yang ada memang tidak cukup untuk digunakan membeli tiket baru, tambahan hajat untuk menggunakan wang tersebut untuk enjoy lagi.

Jadi saya ambil keputusan untuk pulang semula ke asrama untuk mengambil tiket. Satu keputusan yang berbahaya, tetapi ia tindakan yang tekad.

Sampai asrama, selesai mengambil tiket, saya keluar asrama. Terkejut warden di depan pintu asrama.

Penghujungnya; kakimu dikepalaku.

Saya (belakang kanan sekali) ketika di Tingkatan 4.

UCAPAN HARI LAHIR BUAT BUNDA

Kebetulan hari ini hari Jumaat. Sudah lama saya berhajat untuk mengucapkan selamat hari lahir buat bunda saya, yang jatuh pada hari ini.

Kebetulan di madrasah kami, hari jumaat adalah cuti. Maka saya tekad untuk keluar sebentar menalifon bunda saya mengucapkan selamat hari lahir.

Untuk ke 'public phone' terdekat dari madrasah tahfiz saya mengambil masa-masa kira-kira 15 minit berjalan kaki. Madrasah tahfiz saya terletak di kampung yang jalan sisinya hutan. Jadi untuk pergi ke tempat tersebut, saya terpaksa melalui satu haluan jalan yang sama dan tidak mustahil untuk terserempak dengan ustaz madrasah saya.

Namun, 'skill' kami adalah, jika terdengar bunyi kereta kami akan cepat-cepat melompat ke semak. Insya Allah selamat.

Selesai memberi ucapan, saya terpaksa melalui laluan yang sama. Nasib tidak baik, terserempak dengan kereta ustaz.

Hanya rotan dan parut dipunggung menjadi saksi perbuatan saya itu.

Terima Kasih Muallim Soleh Senafi kerana sudi menziarahi kami, anak muridmu
di bumi Mesir ini.

TERIMA KASIH GURU

Itu sebahagian kisah kenakalan saya yang kononya 'hard-core' di zaman sekolah. Ada berberapa kisah yang lagi hebat selepas itu, awal penglibatan saya dengan geng-geng rasis kemelayuan. Geng yang kononya memperjuangkan Melayu, tetapi arak, wanita, samun dan pelbagai lagi maksiat menjadi mainan. Itu kisah ketika saya di sekolah aliran kerajaan. Biarkan ia menjadi pengalaman buat saya.

Namun, pengajaran yang indah seperti ini tidak dapat saya rasai tanpa adanya nikmat guru yang Allah SWT anugerah kepada saya. Terima kasih guru. Pengalaman kenakalan saya, banyak mengajar saya erti kehidupan kini.

Selesai belajar, saya mula merasakan perlunya saya pulang berjumpa dengan guru-guru saya menghambakan diri buat mereka. Sesungguhnya, nilai menghambakan diri yang saya mahu buat adalah terlalu kecil berbanding nilai ilmu yang telah mereka berikan.

Biarpun mereka hanya mengajar huruf alif, namun tanpa tahunya saya kepada huruf alif, mustahil untuk saya membaca walaupun satu ayat dalam al Quran. Itu hanya sedikit perumpamaan.

Cerita jasa dan hal ehwal mereka, saya tidak tertulis dan anda tidak terbaca.

"Bahawasanya, Allah SWT tidak mencabut (menghilangkan) akan ilmu itu sekaligus dari (dada) manusia. tetapi Allah SWT menghilangkan ilmu itu dengan mematikan alim ulama' (orang yang berilmu, seperti guru). Maka apabila sudah di tiadakan alim ulama', orang ramai akan memilih orang-orang yang jahil sebagai pemimpin mereka. Maka apabila pemimpin jahil itu ditanya, mereka akan berfatwa tanpa ilmu pengetahuan. Maka mereka sesat dan menyesatkan orang lain." [HR Muslim]

Buat guru-guru saya, saya; Muhammad Salman al Farisi yang pernah saya menuntut di;

  1. Tadika Islam al Ain, Batu Cave, Selayang.
  2. Sekolah Rendah Islam al Ain, Beranang (Tahun 1) / Tahun 1998
  3. Sekolah Rendah Islam al Ain, Sungai Merab Dalam, Kajang. (Tahun 2) / 1999
  4. Sekolah Kebangsaan Sungai Merab Luar, Kajang. (Tahun 3 pagi) / 2000
  5. Sekolah Agama Rakyat Sungai Merab Luar, Kajang. (Tahun 3, kelas agama petang) / 2000
  6. Sekolah Kebangsaan Jalan Bukit (1), Kajang. (Tahun 4 - 6) / 2001 - 2003
  7. Sekolah Menengah Kebangsaan Saujana Impian, Kajang. (Tingakatan 1 & 2 * Kelas Bahasa Arab 2) / 2004 & 2005
  8. Sekolah Menengah Islam al Irsyad, Kuantan. (Tingkatan 3) / 2006
  9. Darul Quran Nurul Hasanah, Kampung Belimbing, Kuala Selangor. / 2007
  10. Maahad Tahfiz Syeikh Salahuddin al Amin, Hulu Langat / 2008
  11. Sekolah Menengah Islam al Irsyad, Kuantan. (Tingkatan 5) / 2009
Keluarga, sahabat, kenalan dan siapa sahaja yang pernah mengajar saya walaupun satu huruf;

"SELAMAT HARI GURU." dari anak muridmu yang nakal ini.


Semoga menfaat.

* Ini adalah artikel terakhir saya sebelum komputer saya dijual. Semoga Allah SWT menggantikan dengan yang lebih baik.
* 20 Mei 2012, subjek terakhir untuk final year exam saya (Imtihan akhir sanah).
* Saya belajar di banyak sekolah, dan pelbagai tempat kerana berkat nama yang diberi oleh ayah saya; Salman al Farisi. Siapakah beliau? Beliau adalah sahabat Rasulullah SAW yang hebat. Jika ada kesempatan, saya akan kisahkanya.

0 pandangan cinta:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Copyright © NOTA CINTA Design by Muhammad Salman al Farisi | Blogger Theme by Al Irani Muhammad | Powered by Blogger