Followers

Wednesday, May 16, 2012

NILAI MATLAMAT HIDUP



Seekor burung, setelah menetas lahir ke dunia setelah sekian lama berada dalam kepanasan dek telur yang dieram oleh ibunya. Kini dia bebas lahir sebagai seekor burung. Anak burung.

Namun, dia masih perlukan ibunya untuk memberi makanan. Saban waktu, ibunya yang sebelum ini menyediakan tempat tinggal (sarang) terlebih dahulu, pulang membawa cacing untuk disuapkan ke mulut anaknya. Mulut yang paling terbuka luas diantara semua anaknya, mulut itu dahulu cacing akan disuapkan.

Sampai waktu, ibu burung mula mengajarkan anaknya untuk terbang. Mula dari setinggi pokok renek, anak burung itu sudah boleh terbang tinggi. Dan akhirnya, anak burung itu digelar burung dewasa. Dan kini, burung itu tidak perlukan lagi ibunya.

Sampai masa, burung itu akan dewasa dan akan mengawan. Tidak mustahil dia akan mengawan dengan adik-beradiknya sendiri, mahupun ibu atau ayahnya sendiri. Dan akan memperolehi anak, dan sampai masa hayatnya akan habis kerana sakit tua atau ditembak pemburu.

Itu riwayat hidup seekor burung. Ulangan yang sama bagi seekor burung.


ANDA DAN HAIWAN

Masing-masing mempunyai matlamat hudup mereka sendiri. Matlamat, sesuatu yang ingin dicapai dalam kehidupan.

Sebagai contoh, bila seseorang yang bergiat dalam kebajikan, matlamat hidupnya adalah untuk mengabdikan hidupnya dalam kebajikan. Manakala seorang atlit mempunyai matlamat untuk mendapat atau menjunjung piala yang menjadi rebutan ramai.

Seorang arkitek mempunyai impian untuk membentuk sebuah bagunan dari hasil rekaannya yang tersendiri. Manakala seorang ustaz, paderi ataupun penyebar sesebuah agama, pasti mahu semua orang berada dalam agamanya. Walhal Islam itu bukan sekadar agama, ia adalah gaya kehidupan (الدين).

Mungkin ada mereka boleh menyatakan bahawa; "Aku hidup hanyalah untuk mengabdikan diri dan beribadat kepada Allah SWT." Berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud;
"Dan (ingatlah) Aku tidak sesekali menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah kepadaku." [QS al Zariat 51 : 56]

Walhal, apa beza ibadat mereka dengan binatang? Sesungguhnya, seluruh makhluk Allah SWT sentiasa berzikir kepada Allah SWT. [QS al Isra 17 : 44]

Mungkin burung yang saya kisahkan tadi lebih mempraktikkan ibadatnya kepada Allah SWT dalam kehidupanya berbanding manusia, kerana mereka sentiasa dalam zikir kepada Allah SWT, walhal manusia Muslim hanya solat 5 waktu sehari semalam. Itupun masih ramai yang lalai.

Apakah erti menyembah yang sebenar kepada Allah SWT? Dan apa hikmah kita wujud di dunia?


PENGAKHIRAN HAYAT ANDA

Cuba bertanya lagi, bagaimana anda mahu menghabiskan sisa hidup anda?

Seorang kakitangan kerajaan mungkin ingin menghabiskan hayatnya dengan wang pencen, tinggal di kampung bersama isteri, sampai masa, anak-anak membawa cucu-cucu pulang ke kampung. Itu keindahan, kepuasan atau keinginan hidup yang diimpikanya.

Seorang yang bekerja sendiri pula mungkin akan menghabiskan hayatnya mengejar kekayaan. Agar nanti dia bisa mewariskan sebuah syarikat yang besar kepada zuriatnya.

Mereka tahu, satu hari nanti nyawa mereka akan ditarik. Penghabisan dan pengakhiran pada pandangan mereka. Namun, pernahkah mereka berfikir kaadaan nyawa mereka ditarik nanti, adakah pengakhiran (bagi mereka) yang baik atau sebaliknya?

Dan pernahkah juga mereka berfikir akan wujudnya akhirat, kehidupan yang kekal abadi selepas kehidupan sementara di dunia?

"Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sahaja, dengan tiada sebarang hikmat (kebijaksanaan dari Allah SWT) pada ciptaan (kamu) itu. Dan kamu (juga menyangka) tidak akan dikembalikan kepada kami (kehidupan akhirat)?" [QS Al Mukminun 23 : 155]


NILAI MATLAMAT HIDUP ANDA

Anda seorang pelajar, anda ingin berjaya dalam pelajaran anda. Anda seorang doktor, anda ingin berjaya merawat setiap pesakit anda. Dan anda seorang Perdana Menteri, anda ingin mentadbir dengan sebaik-baiknya.

Walau siapapun anda, dimana jua anda berada, apa jua yang anda buat, anda bukan seekor burung. Burung yang bisa terbang tinggi berjaya, ada yang tidak boleh terbang walaupun cantik, sampai masa akan mati walaupun hidupnya hanya bertasbih kepada Allah SWT.

Anda tidak akan berjaya jika anda hanya melaksanakan kerja anda, sehingga sampai masa untuk solat, anda solat. Sampai masa untuk puasa, anda puasa. Malah jika anda seperti itu, burung adalah lebih mulia daripada anda, kerana burung sepanjang masa mulutnya bertasbih, sedangkan anda hanya 5 waktu sehari semalam mengingati Allah SWT.

Jadilah hamba yang menyembah kepada Tuhannya, dengan sesebenar-benar sembah. Tuhan yang menurunkan kepada ummat Nabi Muhammad SAW dengan kitab al-Quran dan Hadis.

Dalam Islam, bukan hanya solat dan puasa sebagai suruhan kepada orang beriman. 6 236 ayat dari 30 juzu' al Quran bukan hanya membincangkan soal solat dan puasa. Ratus ribuan hadis bukan hanya membincangkan soal zakat dan haji.

Mari menjadi ummat Islam yang sebenar, menjadi hamba kepada Allah SWT, pengikut Rasulullah SAW yang sebenar, yang mengikuti dan memahami, apa itu al Quraan dan as Sunnah.

Sesungguhnya, menjadi hamba yang sebenar adalah dengan mengikut, menghayati, memahami tiap-tiap sesuatu dari al Quran dan Hadis. Terlalu banyak suruhan, galakan dan pembawakan yang ingin Allah SWT sampaikan kepada hambanya melalui al Quran dan Hadis. Jika tidak mampu, usahalah kearahnya. Berusaha menjadi hamba yang sebenar.

Juga sentiasa berpesan dalam diri, kematian itu bukanlah satu pengakhiran dalam hidup, tetapi ia adalah satu permulaan. Maka, apakah persediaan kita untuk memulakan hidup kita kelak, di akhirat yang kekal abadi?

Masih bertanya pada diri.

0 pandangan cinta:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Copyright © NOTA CINTA Design by Muhammad Salman al Farisi | Blogger Theme by Al Irani Muhammad | Powered by Blogger