Followers

Sunday, June 17, 2012

RUMAH BUJANG VS RUMAH TANGGA

3 pandangan cinta

Lagi 4 bulan genap 2 tahun saya berada di bumi Mesir. Begitu banyak yang saya belajar dari awal kedatangan saya sehinggalah ke saat ini. Mungkin akan lebih banyak yang saya akan tempuhi pada masa akan datang.

Diantaranya, saya diajar secara praktikal, bagaimana menguruskan sebuah rumah. Saya dilantik menjadi ketua rumah bujang kami dan tinggal bersama saya adalah junior saya ketika di sekolah menengah dahulu.

Dengan berbekalkan duit poket dari emak dan abuya sebanyak RM 400 - RM 500 sebulan, saya belajar agar duit sebanyak itu cukup buat perbelanjaan saya di sini. Secara kasarnya, kebanyakkan pelajar Malaysia di sini menerima sumbangan wang zakat negeri. Dan saya diantara pelajar Malaysia yang tidak layak menerima sumbangan zakat itu ketika para menteri yang kaya raya dengan mudah menerima bantuan wang zakat.

Tinggal di rumah bujang telah mematangkan minda saya. Bagaimana untuk menguruskan 6 orang ahli dengan pelbagai ragam serta tarif air dan letrik, harga gas dan barang dapur yang tidak menentu. Ini membuatkan saya berfikir kesusahan emak dan abuya saya dalam survival mereka membesarkan kami adik beradik.

Bukan itu sahaja, saya selaku ketua rumah juga sering berfikir bagaimana untuk menjadi contoh yang baik buat mereka agar wujud suasana Islamic di rumah kami. Menjadi aib buat saya selaku ketua rumah menunjukkan contoh yang buruk buat mereka. Dan perkara ini yang amat sukar dan sering diabaikan oleh saya.

Ironinya, seorang suami dan ayah lebih patut menunjukkan contoh yang baik buat isteri dan anak-anak. Seorang anak tidak akan banyak belajar melalui bicara ibu dan ayahnya, tetapi mereka banyak belajar melalui perbuatan ibu dan ayahnya. Bertepatan dengan satu pepatah arab yang bermaksud; "Contoh melalui perbuatan adalah lebih baik dari lisan."

Seorang ibu telah menanyakan kepada seorang motivator mengenai masalah rumah tangga yang berlaku kepadanya. Katanya, anaknya memiliki sifat buruk seperti merokok, kuat melawan, mencuri dan sebagainya. Soal motivator tersebut kepada ibu tadi, apa yang dilakukan olehnya dan suaminya di rumah? Adakah suaminya menunjukkan contoh yang baik? Dan adakah suaminya merokok? Adakah ibu tersebut pernah melawan perintah suaminya dan adakah si ibu dan suaminya pernahkah bergaduh di hadapan anak-anak? Kebanyakan soalan tersebut kembali kepada ibu bapa tadi.

Dan sesebahagian kes, ibu bapa memiliki akhlak yang baik tetapi anak-anak pula yang bersifat bertentangan dengan ibu bapa. Bagi saya dalam kes ini, ibu bapa banyak menyerahkan soal pendidikan anak-anak itu kepada sekolah dan asrama. Walhal, sekolah dan asrama adalah satu alam dimana anak-anak akan bertemu dengan 1001 perangai yang 'lebih menarik' yang tidak ada di rumah mereka.


SURVIVAL PELAJAR INDONESIA

Bagi pelajar Indonesia, mereka perlu lebih survival bermula negara mereka sendiri semata-mata ingin menuntut ilmu di Mesir. Dengan kuota penghantaran pelajar yang sedikit, ibu bapa terpaksa memberi suapan kepada pihak pengurusan kerajaan Indonesia bagi membenarkan anak mereka belajar di sini.

Seperti kebanyakan pelajar Kelantan yang datang sendiri tanpa bantuan zakat ke Mesir, ibu ayah pelajar Indonesia juga akan menjual bendang bagi membiayai pembelajaran anaknya di sini. Demi melahirkan seorang anak yang ada pendidikan agama.

Pelajar Indonesia kebanyaknya terpaksa berniaga dalam masa yang sama mereka cemerlang dalam belajar. Dan kesusahan mereka ketika menuntut ilmu itulah membuatkan kebanyakan mereka lebih berjaya dari pelajar Malaysia sendiri, sedang pelajar Malaysia terlalu mewah dengan bantuan zakat.

Ramai diantara pelajar Indonesia yang memperolehi keputusan keseluruhan 'mumtaz' (sangat cemerlang) dalam perperiksaan dan 'jayyid jiddan' (cemerlang) itu dikira biasa. Walhal, pelajar Malaysia sendiri untuk memperolehi keputusan 'jayyid jiddan' adalah perkara yang amat sukar dan amat sedikit yang memperolehinya.

Seorang kenalan saya yang membuka restoran makanan Malaysia di sini mengeluh kerana dia terpaksa mengambil mahasiswa Indonesia untuk bekerja. Katanya, kebanyakan orang Melayu terlalu malas untuk bekerja, dan jika ingin bekerja sekalipun mereka mahukan gaji yang tinggi. Mungkin ini salah satu sebab mengapa orang Melayu amat sukar untuk membayar kembali hutang PTPTN.


RALITI RUMAH TANGGA

Saya teringat kata-kata Ustaz Hasrizal Abdul Jamil di laman Twitter yang seakan-akan ini; "Jangan sesekali ingat alam perkahwinan ini hanyalah peng-halal-an cintan cintun. Ianya adalah satu 'project management'. Kesannya lebih besar dari membuka sebuah logi nuklear."

Saya orang bujang yang belum lagi masuk ke alam pernikahan, namun bahangnya sudah saya rasai sekian lama. Bermulanya bahang itu apabila saya mula menjadi ketua rumah bujang saya di sini.

Saya akui, tanggung jawab menjadi seorang ketua itu bukanlah mudah. Dari ketua rumah tangga sehinggalah menjadi ketua negara. Contoh umum yang paling mudah saya beri adalah pada, Dato' Seri Haji Mohammad Najib bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia. Setiap dari tutur kata beliau, pergerakan beliau semuanya dinilai oleh rakyat. Sehinggakan penilaian tersebut bukan sahaja pada beliau, malah turut berlaku pada isteri, anak, mertua bahkan bakal menantu beliau.

Seorang lelaki yang bakal menjadi ketua keluarga seharusnya memikirkan perkara ini. Setiap dari yang anda lakukan menjadi perhatian isteri dan anak-anak, bahkan tidak terkecuali jiran tetangga. Realiti alam rumah tangga perlu difikirkan dari sekarang. Namun jangan hanya kerana anda memikirkanya, menjadikan anda fobia terhadap alam rumah tangga.


SATU PERSEDIAAN

Sempat saya berbincang mengenai usul fiqh bersama sahabat-sahabat. Terkeluar topik membasuh ikan dan baju. Jika mahu tertib yang sebenar untuk menghilangkan kotoran dan najis pada pakaian contohnya, air perlu dilalukan pada pakaian tersebut agar air tersebut membawa sekali najis-najis yang terdapat pada pakaian tersebut sebelum dimasukkan ke dalam mesin basuh. Ini kerana, mesin basuh bukanlah satu alat yang mengikut syariah untuk membersihkan najis. (Sekadar perkongsian, tidak boleh dijadikan dalil hukum)

Maka siapakah yang akan mengajarkan asas fiqh seperti cara membasuh baju kepada seorang isteri jika bukan suaminya. Siapa lagi yang lebih layak menerangkan hal ehwal fiqh wanita (spt: haid, cara membuang air dll) kepada seorang isteri melainkan suaminya?

Pernikahan bukan sekadar hanya di jinjang pelamin dan bukan juga hanya sekadar halalnya percintaan. Malah ia lebih dari itu.

Anda tidak akan sesekali berjaya dalam sebuah perjalanan jika anda tidak pernah mencuba langkah pertama. Bagi saya, alam pernikahan adalah satu perkara yang harus dicuba. Risiko harus dihadapi dengan persediaan yang lengkap sebelum mengambil risiko tersebut. Semua orang tidak akan mendapat risiko yang sama, ada yang kecundang, dan ada yang berjaya.


RUMAH BUJANG SAYA

Sampai masa, saya akan berpisah dengan semua teman serumah saya. Mereka yang saya anggap sebagai teman, sahabat juga keluarga. Hanya mereka pengganti keluarga saya di sini, yang kebanyaknnya bersama saya susah dan senang dan saya kenali sebelum saya saya datang ke Mesir lagi.

Jika ada diantara mereka yang membaca artikel ini, saya mahu mereka tahu bahawa saya amat mencintai mereka. Cinta saya pada mereka hanya Allah SWT yang tahu. Saya mengharapkan ukhwah ini berpanjangan.

Artikel saya hanya sekadar perkongsian mengenai kehidupan rumah bujang saya, survival sahabat saya dari Indonesia dan kaitanya dengan alam rumah tangga yang bakal dijejaki.

Tuntasnya, setiap sesuatu pada diri hanyalah pinjaman, setiap sesuatu yang dijejaki hanyalah persinggahan, dan setiap sesuatu yang berlaku adalah ujian.

Maafkanku 'ahli bait'ku jika berlaku sebarang salah dan silap dariku.

Semoga menfaat.
Read full post »

Tuesday, June 12, 2012

BERIMPIANLAH DENGANKU - HAMZA NAMIRA

0 pandangan cinta





Berimpianlahlah denganku,
Terhadapnya yang akan tiba,
Walaupun ianya tidak akan tiba,
Kita akan mencapainya sendiri.
Kita akan melangkah melalui jalan ini,
Jejak langkah kita inilah yang akan mencapai cita-cita kita.

Walau berapa banyak kali kita jatuh,
Kita akan bangkit semula,
Mencari jalan bagi melalui cabaran dan menentang awan mendung.
Kita akan ubah malam kita menjadi seribu hari,
Jika kita berimpiankannya.

Berimpianlah denganku wahai sahabatku,
Jejak langkah kita akan menghampiri kita,
Aku begitu cakna akan impianku,
Sekalipun apa yang berlaku,
Ia akan tetap bersama kita,
Sejauh manapun perjalanan yang akan kita tempuh,
Walaupun ianya akan hilang, wahai sahabatku,
Bersatunya kita akan mendekatkan kita kepada impian kita,
Bagi mencapai impian kita.

- Hamza Namira -



Setiap orang mempunyai impain mereka yang tersendiri. Begitu juga dengan rakyat Mesir. Mereka mengimpikan sesuatu yang lebih baik berlaku pada diri mereka, keluarga, agama dan negara mereka.

Begitu juga dengan saya, saya juga mengimpikan sesuatu yang terbaik buat diri saya, keluarga, agama dan negara. Amat malang mereka tidak berimpian dengan sesuatu yang baik.

Terjemahan lirik ini adalah versi saya sendiri, mengikut pemahaman saya terhadap lagu ini.

Untuk pencerahan mengenai impian warga Mesir yang ingin diterjemah dari lagu ini, tontonlah video ini; http://youtu.be/U_eSEp8mLzU


Read full post »

AKU SALMAN AL FARISI BUAT EMAK & ABUYA

1 pandangan cinta


Dahulu lelaki ini sangka dialah anak yang paling soleh dalam kalangan adik beradiknya,
Namun sangkanya kini dia lelaki nakal yang yang tiada saktinya.

Dahulu, lelaki ini juga yang terbang paling tinggi di sarang ibunya,
Namun bila dia melihat dunia, rupanya dia adalah yang paling rendah martabatnya.

Dahulu, lelaki ini menjumpai cinta pertamanya, dia menyangka itulah cintanya yang sebenar,
Namun bila dia dewasa, barulah dia tahu cinta pertamanya hanyalah cinta yang dusta.

Dahulu, lelaki ini sangka tulisannyalah yang paling indah di dunia,
Namun bila dia bersama sastrawan, tulisanya adalah yang terhodoh di dunia.

Dahulu lelaki ini sangka dialah yang paling cemerlang dalam pembelajarannya,
Namun bila keputusan keluar, dialah yang paling corot kedudukannya.

Dahulu lelaki ini sangka dialah yang paling hebat di medan juang,
Namun bila bersama juara, dialah yang paling lemah dalam perjuangan.

Dahulu, lelaki ini sangka dialah pemenang caturan pedang,
Namun bila bersama pembakar meriam, dialah yang paling cepat syahid tanpa pancungan.

Dahulu lelaki ini sangka dialah paling hebat pidatonya,
Namun bila dia dipertandingan, dialah yang paling gugup bicaranya.

...
...
...

Ramai sangka lelaki ini hebat di mata mereka, tanpa mereka sedari lelaki ini adalah yang paling lemah semangatnya.

Emak, abuya.
Sesungguhnya lelaki ini perlukan seseorang disampingnya,
Lelaki ini perlukan pemberi semangat padanya,
Lelaki ini mahu pelengkap dirinya,
Lelaki ini perlukan pembimbing dirinya,
Lelaki ini perlukan seseorang sebagai isterinya,
Lelaki ini mahu menyempurnakan sebahagian agamanya.

Emak, abuya.
Bila di sekolah rendah, anaknda masih tidak dapat mencapai kejayaan,
Bila di sekolah menengah, anaknya terus dengan khayalan,
Bila di maahad, hafiz dan alim tidak juga menjadi kenyataan,

Emak, abuya.
Lalu anaknda teruskan perjuangan di bumi ambiya',
Mengharapkan masih ada peluang kejayaan disana,
Namun itu semua kini menghampiri hampa.

...
...
...

Salman al Farisi kini perlu seindah namanya,
Perlu sekuat jiwanya,
Perlu setabah perjuanganya,
Perlu memperbaiki dirinya,
Perlu, perlu, dan perlu segalanya.

Namun kini dia terasa,
Akan tersungkur buat sekalian kalinya.

...
...
...

Ku kirimkan khabar terbuka buatmu bunda dan ayahnda,
Buat kakanda juga dinda,
Tolonglah lelaki ini,
Memberi semangat padanya,
Meneruskan medan juangnya.

Biarpun kata semangat itu hanya pada solatmu,
Saban waktu, dalam doamu.

Agar dia menjadi persis Salman al Farisi, sahabat Rasulullah SAW.

Salman al Farisi
12 Jun 2012
Read full post »

Sunday, June 10, 2012

MENGIMPIKAN SAKURA GUGUR DI MALAYSIA

0 pandangan cinta


Selalunya cuti musim sejuk, Mesir akan dimeriahkan oleh sahabat-sahabat dari Maghribi, Jordan, Yaman dan yang menuntut di Eropah untuk mengisi masa lapang mereka dengan kelas-kelas talaqi (pengajian) di Masjid al Azhar.

Ada juga diantara mereka yang datang untuk melancong ataupun berukhwah sesama sahabat sepengajian ketika waktu sekolah menengah dahulu. Begitu juga dengan pelajar Mesir, ramai diantara kami yang akan menghabiskan sisa cuti mengambil pengalaman di negara orang lain.

Musim sejuk tahun lepas saya sempat berkenalan dengan seorang sahabat yang menuntut di universiti di kota  Manchester, London. Walaupun tempoh perkenalan kami sebentar, banyak yang saya belajar dari tempoh yang sebentar itu.

Saya sempat bertanya mengenai suasana belajar dan kehidupan di negara Eropah.

"Aku kalau ada kawan-kawan yang nak datang ke Manchester, aku tidak akan bawa mereka ke Stadium Manchester United. Sebab akupun tidak pernah pergi ke sana," katanya secara berseloroh.

"Sebenarnya, dari pergi ke stadium yang tiada menfaat itu, lebih banyak tempat-tempat lain yang bermenfaat untuk di lawati di kota London. Kita sebenarnya tidak tahu bahawa kegiatan dakwah Islamiah di Eropah bergitu pesat di sana. Banyak sekolah-sekolah Islam, gereja-gereja yang berjaya dibeli untuk dijadikan masjid, pusat-pusat kajian Islam dan banyak lagi tempat yang berkaitan denganya yang lebih menarik untuk dilawati. Cuma kita sahaja tidak tahu mengenainya."

Baru-baru ini juga heboh kisah mengenai seorang yang berniqob (purdah) membeli barang di sebuah kedai milik bangsa Arab. Dengan sengaja pemilik kedai memarahi wanita yang memakai niqob dengan menyatakan atas sebab wanita yang pakai niqoblah bangsa Arab dipandang hina dimata orang Barat. Pemilik kedai tersebut menyangka wanita yang memakai niqob tersebut adalah dari bangsa Arab. Lalu wanita itu membuka niqobnya dan ternyata dia bukanlah dari bangsa Arab. Dia mengatakan dia berada di negaranya (Barat) dan dia bebas melakukan apa yang dia mahu (berniqob).



MUSLIM TIADA ISLAM PADANYA

Melihat keagungan budi, pekerti, adab, budaya dan moral orang selain Islam membuatkan diri ini berasa begitu malu. Wujudnya Islam itu pada diri orang yang bukan Islam melalui kehidupannya, walhal orang Islam sendiri kebanyakannya hanya Islam sekadar di kad pengenalan.

Seorang pakcik yang pernah pergi berdakwah di Jepun menyatakan bahawa negara Jepun ini sudah lengkap dengan segalanya. Mereka mempunyai teknologi, budi pekerti, gaya hidup dan nilai moral yang tinggi, cuma sayangnya mereka tidak mempunyai iman dalam diri. Tanpa iman itulah yang tidak melengkapkan apa yang sebenarnya dibawa oleh Islam yang kini dipraktikkan oleh orang Jepun.

Islam kini seolah-olah tiada pada diri umat Islam.

Kita sebenarnya patut cukup berasa malu kerana negara yang terbaik dalam index rasuahnya dalam kalangan negara Islam adalah Qatar yang hanya menduduki kedudukan yang ke-19. Maksudnya negara yang paling bersih dari rasuah adalah negara bukan Islam! (Sumber: http://chartsbin.com/view/nz2)

Malaysia?

Kebanyakan negara Islam sendiri membawa imej yang cukup kotor pada mata antarabangsa. Bagaimana pepatah; "Setiap dinding adalah tandas," yang cukup mashur untuk mentejemah sesebahagian perangai orang Arab Mesir. Diktator-diktator juga kebanyakanya yang popular lahir dari negara Islam.

Cari saja di laman pencari seperti Google.com akan frasa 'terrorist' (pengganas), gambar-gambar yang berkaitan dengan perkataan tersebut jelas memaparkan Islam adalah pembawa kepada keganasan.

Dari sebawah-bawah martabat seorang Islam kini, sehinggalah ke peringkat pemimpin, banyak yang menggambarkan perkara yang nagetif.


I'AM MUSLIM

Pembersihan nama kotor terhadap Islam kini terletak pada bahu kita semua. Kita semua yang akan dipertanggung jawabkan untuk membersihkan nama Islam dari semua sikap-sikap negetif yang dicop oleh orang bukan Islam.

Kita seharusnya melihat diri kita sebagai Muslim dan harus tekadkan dalam hati bahawa; "Saya adalah seorang Muslim."

Setiap dari perkataan yang terkeluar dari lidah itu tidak lain tutur kata seorang Muslim. Setiap perbuatan itu juga menunjukkan seorang Muslim. Dan ke dua-dua perkara tersebut juga perlu disertakan dengan niat dalam hati ikhlas sebagai seorang Muslim yang menjadi hamba kepada Allah SWT.

Mahu menjadi seorang Muslim itu tidak pernah menghalang dari anda terus bergelar sebagai penyanyi rock, pemimpin, penyapu sampah, penjual nasi lemak mahupun pemandu kereta mayat.

Jadilah seorang Muslim yang merasakan seolah-olah kita sentiasa melihat Allah SWT. Andai tidak mampu, cukup jadi sebagai seorang Muslim yang merasakan Allah SWT itu sentiasa melihat diri kita.

Menjadi seorang Muslim itu juga harus diimbangkan dengan ilmu yang ada mengenai Islam. Ilmu yang berlandaskan al Quran dan as Sunnah juga yang dibawa oleh para ulama' dan ilmuan Islam.

Siapapun anda, atas fahaman apapun anda, apapun anda, jadilah seorang Muslim.



MENGIMPIKAN SAKURA GUGUR DI MALAYSIA

Saya sering mengimpikan andai perkara-perkara yang baik yang berkaitan dengan adab dan moral di negara Barat mahupun di negara Timur seperti di Jepun digabungkan dengan iman sebagai seorang Islam pada diri saya, keluarga, kenalan, pembaca blog saya dan seluruh umat Islam khususnya.

Indah andai Islam itu dipandang tinggi oleh warga antarabangsa. Pada waktu itu, tiada seorangpun yang berani menjentik orang Islam apatah lagi mahu melukis karikatur yang menghina Rasulullah SAW.

Saya mengimpikan negara Islam itu begitu maju dalam bidang teknologi. Tenaga nuklear menjana tenaga negara Islam di samping bisa menjadi senjata yang menggerunkan lawan.

Orang Islam berjalan persis Rasulullah SAW iaitu seakan-akan menuruni bukit seperti yang diamalkan oleh bangsa Jepun kini. Cara percakapan bisa membawa orang lain merasakan Islam ini cukup indah.

Tiada lagi membuang air di dinding-dinding. Bahkan korupsi amat dijauhi. Tingginya martabat sebagai seorang Islam.

Dari sudut ekonomi, mata wang Islam menjadi pertukaran utama antarabangsa. Ekonomi berpandukan Islam yang bebas riba'.

Perundangan juga mengamalkan undang-undang yang dibawa oleh Islam. Bangsawan mahupun hamba sama-sama diadili dengan undang-undang yang adil.

Ah, kesimpulanya semuanya indah bagi seorang Muslim. Indah pada luaran, indah lagi pada iman.

Namun mampukah perkara itu berlaku agaknya? Salahkah saya mengimpikan keindahan bunga sakura gugur di bumi Malaysia?

Sudah pasti perkara itu mampu. Bagaimana caranya? Caranya dengan diri saya sendiri. Ya, saya. Siapa? Saya!

Semoga menfaat pada saya!
Read full post »

Friday, June 8, 2012

BUAT CINTAKU

0 pandangan cinta
Di Camron Highlands. Semuanya comel-comel lagi. =)

Tidak perlupun sebenarnya kita nak mencari cinta kepada mereka yang bukan pada masanya lagi untuk kita cintai dengan halal. Kerana sekitar kita sahaja sudah ada orang yang ikhlas mecintai kita, tanpa syarat

Saat kita membuka mata, kita akan lihat ibu kita.
Maka dia adalah cinta pandang pertama yang sepatutnya bagi kita.
Cinta awal hingga akhir hayat.

Dia, adalah ibu saya, Rusnah Abu Samah.

Dalam hidup saya juga, saya mempunyai 3 orang gadis yang menjadi cinta saya, menghiasi hidup saya. Mereka adalah adik beradik perempuan saya.

Sebenarnya ada lagi 2 orang. Tetapi hati mereka sudah dicuri oleh lelaki yang halal bagi mereka. Semoga Allah SWT memberkati mereka.

 Saya mempunyai 7 orang hero yang juga menghiasi hidup saya. Mereka semua adalah pemuda-pemuda harapan Islam, semuanya orang yang hebat-hebat. Mereka adalah adik beradik lelaki saya.

Dan pastinya, siapa mereka semua tanpa seorang yang bernama ayah.

Terima kasih abuya. 

Dia, yang sungguh awesome. Awesome, walau bagaimanapun si dia.
Abuya ketika muda.

Dari kalangan 3 orang gadis yang menjadi cinta saya, ada seorang yang terlalu istimewa.

Jika sekarang saya belum lagi bernikah, maka dia adalah kekasih utama saya selepas ibu dan ayah saya.

Saya harap cinta saya akan kekal walaupun saya sudah bernikah nanti. Miskipun dia akan lupakan saya kerana dia ada tanggung jawab yang lebih besar nanti.

Sungguh menyayanginya.

Doakan dia semoga cemerlang dalam SPM.

Gambar cinta kami berdua. HAHA! Ummu Jannah Muhammad.
Sebenarnya tiada siapapun dapat membaca hati anda, kecuali Allah SWT.

Hanya Dia yang tahu mengenai hati manusia. Maha Suci Allah.

Saya boleh meluahkan cinta saya, tetapi belum tentu mereka yang baca cinta saya dapat memahami cinta saya yang sebanar.

Saya cinta kepada keluarga saya sangat-sangat. Tetapi mereka juga harus faham, saya juga ada wanita yang saya cintai. Yang saya mahu nikahi. Mahu cintainya secara halal.

Ini hanya sedikit luahan. Semoga anda semua mendoakan saya. 

-alirani.muhammad-
@MSalmanAFM
Read full post »

Thursday, June 7, 2012

MELAYU DAN POLITIK DI MALAYSIA

1 pandangan cinta

Banyak kenangan saya bersama sahabat saya bernama Chastra, seorang India Kristian Catholic yang banyak kisah tersebut telah saya ceritakan dalam post yang sebelum ini.

Baru-baru ini saya jumpa gambarnya hadir dalam perhimpunan Duduk dan Bantah | Bersih 3.0. Cukup dengan kehadiranya dalam perhimpunan tersebut telah melengkapkan bukti sepanjang perkenalan saya denganya yang beliau adalah pemuda yang cinta kepada negara.

Saya tidak merasakan dia seorang yang pro-Pakatan Rakyat. Buktinya, saya juga mengenalnya sebagai seorang yang menyokong gagasan 1Malaysia yang dibawa oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Najib Bin Abdul Razak. Saya juga salah seorang yang amat menyokong dan ingin bersama dalam gagasan 1Malaysia dalam banyak perkara dan ada perkara yang saya bangkang.

Lagu 1Malaysia membawa idea dan semangat patriotik yang bagus. Lagu 1Malaysia diantara lagu kegemaran saya. Liriknya sungguh bermakna.

Jika ditanya bangsa apa, maka saya akan jawab; "Saya bangsa Malaysia (I'm Malaysian / أنا الماليزية)" Dalam masa yang sama, saya tidak pernah menafikan saya berketurunan Melayu. Saya amat cintakan Bahasa Melayu, bahasa ibunda saya. Saya cintakan adat yang dibawa oleh orang Melayu. Penyataan yang paling sesuai bagi saya adalah; "Saya bangsa Malaysia yang berketurunan Melayu."



MENOLAK KETIRISAN PEMIMPIN JUGA CINTA NEGARA

Bagi saya, bila saya mecintai seseorang, siapapun dia maka saya akan cintainya. Tetapi jika ada kekurangan padanya, saya akan mengubahnya agar dia menjadi lebih baik. Saya tidak akan membiarkan dia dalam kesilapan yang selama-lamanya.

Jika saya ingin melaksanakan cinta saya kepada negara, walau bagaimanapun negara saya maka saya akan mecintainya. Tetapi tidak bermakna saya mahu membiarkan kesilapan yang berlaku pada negara saya terus-menerus berlaku.

Sering ketika saya berjumpa dan berborak dengan orang yang pro-Mubarak di Mesir, mereka menyatakan adalah mustahil untuk mengubah negara mereka menjadi sebuah negara yang hebat. Walau sesiapapun pemerintah Mesir, maka Mesir akan tetap Mesir. Kenyataan ini menunjukkan dia bukanlah seorang yang cintakan negara. Kerana mereka hanya berkata-kata tanpa usaha untuk mengubahnya.

Saya juga tidak setuju bila ramai para remaja menyatakan mereka sudah bosan dengan politik Malaysia yang kotor, lucah dan teruk. Remaja seperti ini menyatakan jiwa mereka kosong, kosong dari permainan politik Malaysia. Seperti tiada jalan keluar untuk membersihkan permainan politik di Malaysia. Kenyataan ini menunjukkan bertapa anda tidak langsung mencintai negara anda, mahu melihat negara anda ke arah perubahan yang lebih baik.

Bagaimana dahulu negara Barat berada dalam zaman gelap kerana kuasa gereja menguasai politik mereka, mereka berjaya ubah perkara tersebut dengan keinginan mereka sendiri. Bagaimana Jepun yang dulu musnah kerana pengeboman di Hirosyima dan Nagasaki, rakyat Jepun berjaya membina negara mereka dari negara ketenteraan yang hancur sehinggakan menjadi negara yang berteknologi tinggi.

Jangan pernah mengalah dalam mengubah Malaysia, negara yang kita cintai kepada negara yang lebih baik. Negara kita sekarang dikuasai oleh siasahwan yang amat teruk nilai intigriti dan pemikiran mereka. Rasuah berleluasa tanpa batasan.

Dari sudut agama, perjalanan agama Islam di Malaysia amat memilukan. Bagaimana remaja Malaysia terdidik dengan hiburan yang sungguh melalaikan. Remaja yang bakal memimpin negara ini pada masa akan datang disuapkan dengan perkara-perkara yang merosakkan diri dan akhlak mereka sendiri. Malu dengan negara yang tiada Muslim dalam pimpinanya, tetapi ada Islam dalam kepimpinanya.

Saya yakin, bukan saya sahaja yang menginginkan kepimpinan Islam di Malaysia disamping maju dalam ekonomi, teknologi, pendidikan dan pembangunan. Saya mengharapkan agar saya dan anda semua tidak akan pernah mengalah dalam mengubah Malaysia ke arah yang lebih baik, dalam posisi kita masing-masing.



KEBANGKITAN ISLAM

Kebangkitan Islam akan tiba juga nanti. Namun apa posisi anda untuk memberi sokongan terhadap kebangkitan Islam, dimana saat itu Islam berada dalam satu kepimpinan Islamiah seperti zaman Khulafa al Rosyidin.

Kebangkitan itu tidak akan datang ibarat bulan jatuh ke riba. Nabi Muhammad SAW dalam membina kegemilangan Islam pada zamanya juga melalui zaman perit dalam mentarbiah dan dakwah sehingga keindahanya dapat kita rasai kini walaupun tanpa Khilafah Islamiah yang mentadbir bumi ini.

Banyak sangat perkara yang perlu kita fikirkan demi agama dan negara yang kita cintai ini menjadi asas negara Islam sebelum adanya Khilafah Islamiah yang akan tiba nanti. Rakyat Malaysia kini terlalu banyak masalah moral dan agama.

Soalkan pada diri, apa usaha kita?



MELAYU DAN CINTA KEPADA NEGARA

Ketika zaman Kesultanan Melayu dahulu, orang Melayu terlalu menjunjung kecintaan kepada pimpinan dan negara. Sehinggakan banyak titah sultan yang ternyata bercanggah dengan hukum syara' turut dilaksanakan. Orang Melayu dahulu sanggup menumpahkan darah sendiri demi sultan dan negara.

Seorang pakcik saya yang kini berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut menyatakan kebanyakan yang menyertai angkatan tentera negara kita terdiri dari orang Melayu. Katanya, ini disebabkan kaum Cina dan India tidak terlalu cintakan kepada negara.

Juga bila sebuah NGO kononya sanggup mempertahankan apa sahaja termasuk darah demi mempertahankan institusi kesultanan Melayu. Namun akhirnya perjuangan NGO ini tiada akhirnya, hanya sekadar cakap besar dan hangat-hangat tahi ayam. Mulut lebih busuk dari bau badan, itu perumpamaan saya kepada mereka.

Apakah rasionalnya perbuatan dan kenyataan ini semua?

Bila melihat bagaimana penduduk Britain begitu menghorati institusi permaisuri mereka. Mulut mereka tidak pernah busuk dengan janji kosong kepada kepimpinan dan juga ke-permaisuri-an mereka. Kerana kepimpinan mereka bersih dari kerendahan ahklak. Dan apa yang mereka lakukan untuk kepimpinan mereka adalah berbaloi dengan apa yang mereka dapat.

Berbaloikah jika kepimpinan Malaysia terus menerus melakukan ketirisan dan kita sebagai rakyat melebih-lebih mempertahankan mereka? Aplikasinya, rakyat terpaksa menaggung cukai dan harga yang tinggi dalam kehidupan untuk menaggung beban rasuah dan kekejaman yang mereka lakukan. Nasihat sudah diberikan, usaha juga telah dilakukan, namun mereka tetap mereka. Ini realiti zaman fitnah.

Kenapa kaum Cina lebih memplopori cinta mereka kepada Malaysia? Ramai sahabat saya yang bimbang kononya nanti orang Cina dan India memplopori politik Malaysia sehingga kononya kaum ini akan menjadi Perdana Menteri Malaysia, tetapi mereka tidak berusaha untuk mematahkan usaha tersebut walaupun pada dasarnya perakara tersebut mustahil kerana asas perundangan Malaysia menafikanya.

Mereka menyatakan kesatuan bangsa Melayu itu penting, walhal NGO yang mereka bergiat serta sendiri telah memcah-belahkan orang Melayu di Malaysia. Pada zahirnya mereka nampak orang Melayu terpecah kepada UMNO dan PAS, walhal NGO mereka juga adalah pecahan kelompok Melayu. Cakap tidak serupa bikin.

Saya lebih hormat dengan orang Cina dan India yang cinta mereka kepada Malaysia melebihi cinta orang Melayu sendiri. Mereka inilah yang bersungguh-sungguh menginginkan kepimpinan yang lebih baik untuk Malaysia, membantah kerosakan alam di Malaysia dan menganggap mereka adalah 'Malaysian' walaupun ada yang mereka perjuangkan melanggar asas Islam. Mereka melanggar asas Islam tersebut mungkin kerana mereka bukan orang Islam, dan itu bukan salah mereka bahkan ianya salah kita kerana tidak terangkan dan berdakwah kepadanya. Bahkan lebih teruk Melayu sendiri yang Islam tetapi secara nyata menetang pembawakan Islam.



PENYELESAIAANNYA SATU PEMERHATIAN

Bagi saya, kita sekarang berada dalam zaman yang penuh dengan zaman fitnah dan kelemahan Islam. Istilah 'win-win' (menang-menang) demi kebangkitan Islam ketika berada dalam zaman ini adalah suatu yang ada rasionalnya. Sebab itu demokrasi bukanlah sesuatu yang haram secara mutlak.

Saya harap dengan meraikan demokarasi akan memperbaiki institusi kepimpinan di Malaysia ke arah yang lebih baik. Jika Islam dapat menguasai institusi kepimpinan di Malaysia, tidak mustahil ia adalah asas kepada penubuhan Khilafah Islamiah pada masa akan datang.

Anda seharusnya ambil bahagian dalam politik yang berlaku di Malaysia. Ambil bahagian dalam pilihan raya demi kebangkitan Islam.

Sudah masanya Malaysia menjadi sebuah negara yang lebih baik. Bagaimana dahulu Rasulullah SAW memperkasakan dakwah kepada kepimpinan dengan menghantar surat kepada maharaja Rom, Parsi juga yang lain-lain, kerana kepimpinan memainkan peranan yang besar untuk merubah sesuatu kaum.

Dengan cara yang sama kita 'merubah' pimpinan Malaysia ke arah yang lebih baik semoga dengan jalan yang sama Allah SWT memperbaiki masalah yang berlaku kepada rakyat Malaysia.

Artikel saya hanyalah satu pemerhatian dari kedudukan saya sebagai rakyat Malaysia yang suara kecilnya tidak didengari. Saya mengharapkan jawapan balas dari anda jika ada perkara yang saya nyatakan ini berlanggar dengan Islam.

Saya sudah bosan dengan permainan politik sampah orang Melayu. Namun saya harap saya tidak akan pernah berputus asa untuk memperbaiki politik orang Melayu secara khusus dan kepada rakyat Malysia secara amnya.

#DemiRakyat
Read full post »

Monday, June 4, 2012

PUISI; TANGISAN, KONKLUSI DAN SOLUSI DARIKU

0 pandangan cinta

Terduduk kaku bisu di bucu paling kelabu,
Diam lidah kelu terkunci jasad malu,
Semangat merah saga terpadam dek dunia,
Sampai masa ia tiba, marah tanpa punca penghujungnya hiba,
Akhbar dibelek papan kekunci dipetik keringatku hanya dimuka buku,
Punya wang sejuta bukan untuk mereka,
Berkereta mewah menyusur lorong indah,
Resipi utama seteru menu utama saban waktu,
Tanpa malu menyeru bak panglima baru.

Sebolehnya aku mahu doaku hanya untukmu,
Helaian wangku untuk setiap suapmu,
Istana mewahku tempat berlindung juga kubumu,
Kuda besiku menjadi tungganganmu,
Tumpahnya darah dari tubuhku ditanahmu,
Bergerak sebaris bersama berbicara,
Setiap laluan darah lipatan sendi menjadi saksi,
Kemenangan dirai kematian menjadi bukti.

Apa guna jutaan pemuda jika jiwanya sengsara,
Mengikut rentak puisi dusta penyair Korea,
Mulutnya bicara mindanya merana,
Alam maya dunia dusta teratak bersuka ria,
Merasa indah bak sutera membuai leka,
Biarkan kamu sengsara, diriku sudah diulik mesra,
Biarkan kamu beradu tenaga, aku mahu beradu lena.

Dimana konklusi dan solusi,
Menyatukan jiwa jasadnya berjuta,
Mencari kekuatan bak laksamana,
Penawar berkesan bisa cinta dunia.

Cukup sudah salahkan mereka buta usaha,
Kini masa hentikan bicara,
Kerana diriku,
Sebab diriku,
Atas diriku,
Konklusi dan solusi juga diriku.

Salman al Farisi
5 Jun 2012 2:57 AM
Kaherah, Mesir.
Read full post »
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Copyright © NOTA CINTA Design by Muhammad Salman al Farisi | Blogger Theme by Al Irani Muhammad | Powered by Blogger