Banyak kenangan saya bersama sahabat saya bernama Chastra, seorang India Kristian Catholic yang banyak kisah tersebut telah saya ceritakan dalam post yang sebelum ini.
Baru-baru ini saya jumpa gambarnya hadir dalam perhimpunan Duduk dan Bantah | Bersih 3.0. Cukup dengan kehadiranya dalam perhimpunan tersebut telah melengkapkan bukti sepanjang perkenalan saya denganya yang beliau adalah pemuda yang cinta kepada negara.
Saya tidak merasakan dia seorang yang pro-Pakatan Rakyat. Buktinya, saya juga mengenalnya sebagai seorang yang menyokong gagasan 1Malaysia yang dibawa oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Najib Bin Abdul Razak. Saya juga salah seorang yang amat menyokong dan ingin bersama dalam gagasan 1Malaysia dalam banyak perkara dan ada perkara yang saya bangkang.
Lagu 1Malaysia membawa idea dan semangat patriotik yang bagus. Lagu 1Malaysia diantara lagu kegemaran saya. Liriknya sungguh bermakna.
Jika ditanya bangsa apa, maka saya akan jawab; "Saya bangsa Malaysia (I'm Malaysian / أنا الماليزية)" Dalam masa yang sama, saya tidak pernah menafikan saya berketurunan Melayu. Saya amat cintakan Bahasa Melayu, bahasa ibunda saya. Saya cintakan adat yang dibawa oleh orang Melayu. Penyataan yang paling sesuai bagi saya adalah; "Saya bangsa Malaysia yang berketurunan Melayu."
MENOLAK KETIRISAN PEMIMPIN JUGA CINTA NEGARA
Bagi saya, bila saya mecintai seseorang, siapapun dia maka saya akan cintainya. Tetapi jika ada kekurangan padanya, saya akan mengubahnya agar dia menjadi lebih baik. Saya tidak akan membiarkan dia dalam kesilapan yang selama-lamanya.
Jika saya ingin melaksanakan cinta saya kepada negara, walau bagaimanapun negara saya maka saya akan mecintainya. Tetapi tidak bermakna saya mahu membiarkan kesilapan yang berlaku pada negara saya terus-menerus berlaku.
Sering ketika saya berjumpa dan berborak dengan orang yang pro-Mubarak di Mesir, mereka menyatakan adalah mustahil untuk mengubah negara mereka menjadi sebuah negara yang hebat. Walau sesiapapun pemerintah Mesir, maka Mesir akan tetap Mesir. Kenyataan ini menunjukkan dia bukanlah seorang yang cintakan negara. Kerana mereka hanya berkata-kata tanpa usaha untuk mengubahnya.
Saya juga tidak setuju bila ramai para remaja menyatakan mereka sudah bosan dengan politik Malaysia yang kotor, lucah dan teruk. Remaja seperti ini menyatakan jiwa mereka kosong, kosong dari permainan politik Malaysia. Seperti tiada jalan keluar untuk membersihkan permainan politik di Malaysia. Kenyataan ini menunjukkan bertapa anda tidak langsung mencintai negara anda, mahu melihat negara anda ke arah perubahan yang lebih baik.
Bagaimana dahulu negara Barat berada dalam zaman gelap kerana kuasa gereja menguasai politik mereka, mereka berjaya ubah perkara tersebut dengan keinginan mereka sendiri. Bagaimana Jepun yang dulu musnah kerana pengeboman di Hirosyima dan Nagasaki, rakyat Jepun berjaya membina negara mereka dari negara ketenteraan yang hancur sehinggakan menjadi negara yang berteknologi tinggi.
Jangan pernah mengalah dalam mengubah Malaysia, negara yang kita cintai kepada negara yang lebih baik. Negara kita sekarang dikuasai oleh siasahwan yang amat teruk nilai intigriti dan pemikiran mereka. Rasuah berleluasa tanpa batasan.
Dari sudut agama, perjalanan agama Islam di Malaysia amat memilukan. Bagaimana remaja Malaysia terdidik dengan hiburan yang sungguh melalaikan. Remaja yang bakal memimpin negara ini pada masa akan datang disuapkan dengan perkara-perkara yang merosakkan diri dan akhlak mereka sendiri. Malu dengan negara yang tiada Muslim dalam pimpinanya, tetapi ada Islam dalam kepimpinanya.
Saya yakin, bukan saya sahaja yang menginginkan kepimpinan Islam di Malaysia disamping maju dalam ekonomi, teknologi, pendidikan dan pembangunan. Saya mengharapkan agar saya dan anda semua tidak akan pernah mengalah dalam mengubah Malaysia ke arah yang lebih baik, dalam posisi kita masing-masing.
KEBANGKITAN ISLAM
Kebangkitan Islam akan tiba juga nanti. Namun apa posisi anda untuk memberi sokongan terhadap kebangkitan Islam, dimana saat itu Islam berada dalam satu kepimpinan Islamiah seperti zaman Khulafa al Rosyidin.
Kebangkitan itu tidak akan datang ibarat bulan jatuh ke riba. Nabi Muhammad SAW dalam membina kegemilangan Islam pada zamanya juga melalui zaman perit dalam mentarbiah dan dakwah sehingga keindahanya dapat kita rasai kini walaupun tanpa Khilafah Islamiah yang mentadbir bumi ini.
Banyak sangat perkara yang perlu kita fikirkan demi agama dan negara yang kita cintai ini menjadi asas negara Islam sebelum adanya Khilafah Islamiah yang akan tiba nanti. Rakyat Malaysia kini terlalu banyak masalah moral dan agama.
Soalkan pada diri, apa usaha kita?
MELAYU DAN CINTA KEPADA NEGARA
Ketika zaman Kesultanan Melayu dahulu, orang Melayu terlalu menjunjung kecintaan kepada pimpinan dan negara. Sehinggakan banyak titah sultan yang ternyata bercanggah dengan hukum syara' turut dilaksanakan. Orang Melayu dahulu sanggup menumpahkan darah sendiri demi sultan dan negara.
Seorang pakcik saya yang kini berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut menyatakan kebanyakan yang menyertai angkatan tentera negara kita terdiri dari orang Melayu. Katanya, ini disebabkan kaum Cina dan India tidak terlalu cintakan kepada negara.
Juga bila sebuah NGO kononya sanggup mempertahankan apa sahaja termasuk darah demi mempertahankan institusi kesultanan Melayu. Namun akhirnya perjuangan NGO ini tiada akhirnya, hanya sekadar cakap besar dan hangat-hangat tahi ayam. Mulut lebih busuk dari bau badan, itu perumpamaan saya kepada mereka.
Apakah rasionalnya perbuatan dan kenyataan ini semua?
Bila melihat bagaimana penduduk Britain begitu menghorati institusi permaisuri mereka. Mulut mereka tidak pernah busuk dengan janji kosong kepada kepimpinan dan juga ke-permaisuri-an mereka. Kerana kepimpinan mereka bersih dari kerendahan ahklak. Dan apa yang mereka lakukan untuk kepimpinan mereka adalah berbaloi dengan apa yang mereka dapat.
Berbaloikah jika kepimpinan Malaysia terus menerus melakukan ketirisan dan kita sebagai rakyat melebih-lebih mempertahankan mereka? Aplikasinya, rakyat terpaksa menaggung cukai dan harga yang tinggi dalam kehidupan untuk menaggung beban rasuah dan kekejaman yang mereka lakukan. Nasihat sudah diberikan, usaha juga telah dilakukan, namun mereka tetap mereka. Ini realiti zaman fitnah.
Kenapa kaum Cina lebih memplopori cinta mereka kepada Malaysia? Ramai sahabat saya yang bimbang kononya nanti orang Cina dan India memplopori politik Malaysia sehingga kononya kaum ini akan menjadi Perdana Menteri Malaysia, tetapi mereka tidak berusaha untuk mematahkan usaha tersebut walaupun pada dasarnya perakara tersebut mustahil kerana asas perundangan Malaysia menafikanya.
Mereka menyatakan kesatuan bangsa Melayu itu penting, walhal NGO yang mereka bergiat serta sendiri telah memcah-belahkan orang Melayu di Malaysia. Pada zahirnya mereka nampak orang Melayu terpecah kepada UMNO dan PAS, walhal NGO mereka juga adalah pecahan kelompok Melayu. Cakap tidak serupa bikin.
Saya lebih hormat dengan orang Cina dan India yang cinta mereka kepada Malaysia melebihi cinta orang Melayu sendiri. Mereka inilah yang bersungguh-sungguh menginginkan kepimpinan yang lebih baik untuk Malaysia, membantah kerosakan alam di Malaysia dan menganggap mereka adalah 'Malaysian' walaupun ada yang mereka perjuangkan melanggar asas Islam. Mereka melanggar asas Islam tersebut mungkin kerana mereka bukan orang Islam, dan itu bukan salah mereka bahkan ianya salah kita kerana tidak terangkan dan berdakwah kepadanya. Bahkan lebih teruk Melayu sendiri yang Islam tetapi secara nyata menetang pembawakan Islam.
PENYELESAIAANNYA SATU PEMERHATIAN
Bagi saya, kita sekarang berada dalam zaman yang penuh dengan zaman fitnah dan kelemahan Islam. Istilah 'win-win' (menang-menang) demi kebangkitan Islam ketika berada dalam zaman ini adalah suatu yang ada rasionalnya. Sebab itu demokrasi bukanlah sesuatu yang haram secara mutlak.
Saya harap dengan meraikan demokarasi akan memperbaiki institusi kepimpinan di Malaysia ke arah yang lebih baik. Jika Islam dapat menguasai institusi kepimpinan di Malaysia, tidak mustahil ia adalah asas kepada penubuhan Khilafah Islamiah pada masa akan datang.
Anda seharusnya ambil bahagian dalam politik yang berlaku di Malaysia. Ambil bahagian dalam pilihan raya demi kebangkitan Islam.
Sudah masanya Malaysia menjadi sebuah negara yang lebih baik. Bagaimana dahulu Rasulullah SAW memperkasakan dakwah kepada kepimpinan dengan menghantar surat kepada maharaja Rom, Parsi juga yang lain-lain, kerana kepimpinan memainkan peranan yang besar untuk merubah sesuatu kaum.
Dengan cara yang sama kita 'merubah' pimpinan Malaysia ke arah yang lebih baik semoga dengan jalan yang sama Allah SWT memperbaiki masalah yang berlaku kepada rakyat Malaysia.
Artikel saya hanyalah satu pemerhatian dari kedudukan saya sebagai rakyat Malaysia yang suara kecilnya tidak didengari. Saya mengharapkan jawapan balas dari anda jika ada perkara yang saya nyatakan ini berlanggar dengan Islam.
Saya sudah bosan dengan permainan politik sampah orang Melayu. Namun saya harap saya tidak akan pernah berputus asa untuk memperbaiki politik orang Melayu secara khusus dan kepada rakyat Malysia secara amnya.
#DemiRakyat
1 pandangan cinta:
Aku bosan dan BENCI dengan blog-blog politik di internet dan suratkhabar2 yg tak habis2 bercerita pasal politik. The way I see it, Malaysia sekarang semakin tak stabil dan semakin kebelakang instead of going forward. Baguslah tu, bergaduh lah berhabis2an, x lama lagi malaysia mungkin akan jadi lebih teruk dari Laos atau Vietnam.
Post a Comment