Diriwayatkan bahawa pada hari kedua keIslaman Khadijah رضى الله عنها (RA), Saidina Ali كرم الله جهه (KRW) datang ke rumah Rasulullah صلى الله عليه وسلم (SAW). Pada masa itu Rasulullah SAW sedang menunaikan solat bersama Khadijah RA. Apabila Saidina Ali KRW melihat kelakuan aneh Rasulullah SAW, beliau bertanya kepada Rasulullah SAW; "Wahai Muhammad, apakah ini?"
Rasulullah SAW lantas menjawab; "Inilah agama Allah سبحانه وتعالى (SWT), kerananya diutuskan nabi dan rasul. Aku menyeru agar engkau beriman kepada Allah SWT, beribadat kepadanya dan meninggalkan penyembahan berhala al Lata dan al Uzza."
Saidina Ali KRW pada mulanya enggan menerima dakwah baginda Rasulullah SAW kerana takutkan ayahnya, Abu Talib sambil berkata; "Aku tidak pernah mendengar agama ini. Jadi aku tidak boleh membuat sebarang keputusan melainkan setelah aku bertanya Abu Talib terlebih dahulu."
Rasulullah SAW bimbang sekiranya agama ini sampai ke pengetahuan Quraish. Lalu baginda menasihati Saidina Ali KRW supaya merahsiakan daripada pengetahuan Abi Talib seterusnya meminta Saidina Ali KRW supaya bermalam di rumahnya.
Pada malam itu, Allah telah mencampakkan cahaya hidayah-Nya kedalam hati Saidina Ali KRW untuk menerima ajaran Islam. Lantas Saidina Ali KRW terus berjumpa Rasulullah SAW menyatakan keinginannya memeluk agama Islam. Rasulullah SAW bersabda; "Hendaklah engkau bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah SWT, tiada sekutu bagi-Nya, dan aku sebagai rasul-Nya, dan hendaklah engkau mengkufuri al Lata dan al Uzza serta menjauhkan diri sama sekali dariapda tuhan-tuhan yang lain."
Saidina Ali KRW terus melakukan arahan Rasulullah SAW. Pada hari itu, dunia menjadi saksi keIslaman Saidina Ali KRW semasa umurnya sepuluh tahun (terdapat sedikit khilaf daripada cerita ini).
[Dipetik dari kitab 400 Kata-Kata Hikmah Saidina Ali bin Abi Talib K.W.H, penulis Hj. Nik Azran Muhamed, Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir, Kaherah]
REALITI JUSTIN BIEBER
Kisah diatas tidak jauh dengan realiti idola remaja zaman kini, Justin Bieber. Seorang remaja belasan tahan kelahiran Ontario, Kanada ini telah memulakan kejayaannya bermula dari umur 12 tahun, 2 tahun tua dari umur pengIslaman Saidina Ali KRW.
Bayangkan saja, pada umur 16 tahun (1 Mac 1994) Justin Bieber sudah dikenali dunia. Pelbagai anugerah yang telah dimenanginya diantaranya pingat utama American Music Awards ke-38 yang berlangsung di Nokia Theatre, Los Angelas, 21 November lalu dan merupakan artis termuda memenagi anugerah utama tersebut disamping pelbagai lagi pingat yang diterima pada majlis tersebut mengalahkan artis popular.
"Saya berharap segala yang dilalui ini akan mempengaruhi orang lain secara positif. Mesej saya setiap mampu melakukan apa saja jika meletakan sepenuh kepercayaan terhadap usaha itu.
"Saya tidak membesar dalam kemewahan, malah hidup saya penuh kekurangan. Tapi kesulitan lalu membentuk saya menjadi kuat, bahkan membina karekter saya hari ini," katanya yang berharap kejayaannya menjadi contoh peminat muda.
Kira-kira 84,846 kali laman Twitternya dilawati dan menerima 11,000 peminat baru setiap hari. Beliau diantara yang diperkatakan aikon remaja terbaik oleh media yang mengkin akan membuatkan remaja kini tidak lagi mengagumi Ilmuan dan Tokoh remaja Islam. [sumber: Berita Harian online]
REMAJA KINI GILA HIBURAN
Penyataan saya diatas tidak salah sama sekali. Malah jika ditanya kepada kebanyakan remaja zaman kini untuk disenaraikan nama artis terbaik zaman kini mungkin hampir kesemuanya boleh diberi namun jika ditanya nama sahabat Rasulullah SAW yang dijanjikan syurga baginya, muka mula tersipu-sipu malu.
Perkara ini bukan omongan kosong, malah saya juga mengakui saya masih daif dalam mengetahui tokoh-tokoh Islam berbanding dengan pengetahuan saya mengenai artis-artis kini. Masalah ini bukan hanya pada pelajar sekolah aliran kerajaan, malah dari kalangan lepasan sekolah agama juga ada yang menghidap penyakit ini. Hidup tidak boleh tanpa lagu dan hiburan yang melalaikan. Dan dalam golongan orang yang paling dekat dalam hidup saya juga menghadapi masalah ini.
Maka tidak pelik jika masjid-masjid kini terpaksa mempelbagaikan program bagi menarik remaja-remaja Melayu khususnya untuk mengimarahkan masjid dan contoh yang paling terbaru ialah seorang pemimpin wanita cina yang mengadakan senamrobik di perkarangan masjid dengan pakaian yang tidak menutup aurat. Ada yang meminta pandangan saya mengenai isu ini dan kata saya mudah, pemimpin Islam sendiri boleh mengaji di dalam masjid dalam kaadaan yang tidak tutup aurat mengapa tidak mereka yang bukan Islam tidak menutup aurat ketika di dalam masjid.
BILA SETIAP HARI CERITA HIBURAN
Saya juga teringat ketika seorang ustaz saya ketika di Madrasah Syekh Salahudin al Amin, Hulu Langat berpesan bahawa iman kita sebenarnya bergantung kepada apa yang sering kita perkatakan. Saya amat setuju dengan kata-kata beliau. Kesimpulanya mudah, jika kita bergaul dengan si penjual kereta, membaca majalah kereta dan mengetahui setiap inci dari kereta maka kita akan rasa cinta kepada kereta. Ingin sentiasa memiliki kereta terbaru, mecantikkanya dan pelbagai lagi seolah-olah kereta segalanya.
Begitu juga dengan hiburan. Setiap hari akhbar harian akan menyiarkan berita mengenai artis dan hiburan. Sehinggakan berita remeh seperti artis jatuh basikalpun hendak disensasikan. Alahai akhbar tempatan dan mereka yang membaca berita tersebut. Apa yang anda dapat jika anda mengetahui artis tersebut jatuh basikal? Dapat duitkah? Dapat ilmu yang menfaatkah? Dapat pahalakah? Atau dapat keredhaan Allah SWT kah?
Mereka ini bijak dengan memanipulasi tajuk berita sehingga kelihatan menarik tetapi kalau dibaca tiada apa-apa pun. Setiap hari pasti ada berita mengenai artis namun cerita mengenai keagungan Islam, ketokohan Islam zaman kini dan lampau, kejatuhan empayar Uthmaniah, ketabahan saudara di Palestin jarang sekali disiarkan dan boleh di katakana cerita ini disiarkan secara bermusim. Ketika ada sambutan Islam atau ketika penduduk Palestin benar-benar ditekan oleh Yahudi Laknatullah. Cerita Hiburan tiap-tiap hari namun Majalah Solusi sebulan sekali. Gambar artis besar gedabak, kisah pengajaran kecik kenenot.
Bagaimana para remaja kini khususnya ingin tertarik dengan cerita Islam berbanding dengan omongan kosong cerita artis kini agaknya ya?
MEMPERSENIKAN DAKWAH
Nampaknya para ulama' dan daie kini harus mempersenikan lagi dakwah. Agar para remaja kini mula memperkatakan "Wah3. Cerita ketokohan Islam lagi best dari kisah Justin Beibier rupanya. Cayalah. Beb, kalau lu tak percaya cuba cari buku-buku mengenai cerita Islam, artikel-artikel Islamik, blog-blog Islamik macam cintanota.blogspot.com. Wa percaya lu akan jadi remaja yang terbaik harapan Islam!"
SAYA REMAJA MODEN NAMUN SAYA JUGA REMAJA ISLAM UNGGUL
Wahai para sahabat yang saya kasihi sekalian, tidak bermakna bila seseorang itu rapat kepada Islam maka sepanjang masa atau 24/7 harus pakai jubah, serban, bercelak dan tasbih di tangan. Anda jangan sesekali terpedaya dengan cerita salah seorang pemimpin negara kita yang memperkatakan bahawa Islam hanya di masjid atau Islam hanya bab-bab solat, puasa, zakat, haji, nikah dan seumpamanya.
Saya ingin membuka minda sahabat sekalian bahawa Islam seperti yang dinukilkan dalam al Quran dan as Sunnah itu sendiri indah dan meliputi setiap aspek kehidupan dari zaman Rasulullah SAW sehinggalah hari kiamat. Tiada makna Islam hanya dikhususkan dalam bab-bab yang kecil.
Dari mana saya ingin mengetahui indahnya Islam? Maka banyak-banyaklah menuntut ilmu. Lalu jadilah anda semua remaja unggul zaman kini yang berlandaskan Islam. Bagaimana hiburan yang digariskan oleh Islam, cara pimpinan dalam Islam dan pelbagai lagi yang anda boleh cari hanya dengan Ilmu.
Saya juga sedang menuntut dan saya mahu anda semua juga bersama-sama menuntut. Bukan lebih indah jika Islam sebagai cara hidup kita seorang remaja? Pasti mantop persis Saidina Ali KRW kan.
Wallahu 'alam
Kaherah, Mesir
10.07am 01 Januari 2011
p/s: Saya menulis artikel ini atas dasar kasihan dengan remaja yang mahu hidup penuh dengan hiburan namun cara hiburan mereka salah. Pendapat peribadi saya kita seharusnya jangan salahkan hiburan, namun salahkan bagaimana hiburan itu diaplikasi. Tidak salah berhibur dengan menghadiri konsert namun janganlah kita melanggar apa yang titetapkan dalam Islam. Seperti contoh pergilah ke konsert namun janganlah anda membuka aurat, bergaul bebas lelaki perempuan, menyaksikan persembahan artis wanita yang membuka aurat dan seumpamanya. Bukan kemampuan bagi saya untuk menerangkan hujah dan dalil semua itu namun cukup dengan mengajak pembaca sekalian menuntut ilmu dan dekati Islam. Semoga menfaat.
0 pandangan cinta:
Post a Comment