Followers

Tuesday, December 21, 2010

JALAN LAMA YANG SEMAKIN DILUPAI


Bulan Desember diantara bulan yang dikenali sebagai 'musim kenduri' di Malaysia. Hampir setiap minggu akan diadakan kenduri kahwin di setiap pelusuk taman perumahan bahkan kampung sehinggakan mungkin diantara kita yang terpaksa pilih kenduri manakah yang mahu dihadirinya. Boleh jadi satu hari kita hadir 3 kenduri sekaligus terutama pada hari Ahad. Musim yang dikatakan mudah kerana semua sepupu-sepapat dan saudara-mara boleh pulang menjayakan walimatul urus atas tiket cuti sekolah katanya.

Itu diantara adat yang masih berkekalan. Namun budaya majlis perkahwinan yang semakin kita lupai ialah kad undangan perkahwinan. Maklum sahaja, perkahwinan kini semakin tinggi kosnya. Mereka lebih mengejar nama dalam majlis perkahwinan namun apa yang ditekankan Islam dalam perkahwinan yang indah itu sendiri diletak jauh-jauh.

Dalam mengejar kemeriahan walimatul urus, cara undangan majlis walimah semakin dilupai. Lihat bagaimana undangan perkahwinan melalui Facebook begitu berluasa yang dikatakan lebih jimat kos, jimat masa, jimat keras dan lain-lain lagi alasan.

Itu diantara contoh yang ingin saya kongsi bagi jalan dakwah yang kita semakin lupakan.


TEKNOLOGI MERENDAHKAN MARTABAT KEMANUSIAAN

Dahulu kalau kita tahu ada salah seorang sahabat kita yang sakit, kita sanggup merentasi jalan yang jauh semata-mata untuk ziarah. Dahulu juga kalau ada saudara-mara yang ingin pergi menunaikan haji ataupun umrah, kita sanggup untuk mengiringi mereka dari pintu rumah sehinggalah ke pintu lapangan terbang. Dahulu juga setiap pagi kita akan pergi ke kedai runcit semata-mata ingin membeli akhbar harian. Dan pelbagai lagi contoh 'dahulu-dahulu' namun kini sudah berubah.

Semua itu tidak perlu hanya kerana Facebook. Ucapan, ziarah, takziah dan apa jua nilai kemanusiaan dahulu, kini sudah bertukar dengan nilai kemajuan hanya kerana Facebook. Dan dakwah juga tidak terlepas dari menerima impak yang sama atas kemajuan teknologi tersebut.

Semua dapat lihat sendiri bagaimana ada diantara kita yang sekadar menulis di ruang status "JOM KE MASJID" atau "ESOK HARI ISNIN, JANGAN LUPA PUASA YAA" sedangkan adik beradik yang berada dirumah sendiri tidak diajak ke masjid dan puasa. Kalau diungkap kembali bagaimana Rasulullah SAW sendiri berdakwah kepada yang paling hampir dahulu barulah melebarkan sayap dakwahnya ke wilayah Rom dan Parsi. Dan ada juga diantara mereka yang menyatakan "MALAM TADI AKU QIAMULLAIL.. KORANG QIAM TAK?" samaada dengan niat ingin mengajak orang atau riya', hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui.

Firman Allah SWT dalam kalamnya al Quran yang bermaksud;
"Kamu (umat Islam) adalah yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, (kerana kamu) menyuruh (berbuat) kearah kebaikan dan mencegah dari yang kemaksiatan dan beriman kepada Allah (sehingga akhir ayat)" [QS Ali Imaran 3 : 110]


SUDAH DAPAT GADING BERTAUH, TANDUK MASIH DIGUNA LAGI

Saya tidak menyatakan mengajak kepada kebaikan menggunakan Facebook itu satu kesalahan. Saya juga akui Facebook dan blog juga diantara sebagai salah satu medium dakwah yang berkesan. Mungkin diantara kita mula sedar akan kesilapan dalam diri apabila membaca artikel-atikel dalam Facebook. Itu adalah salah satu kebaikan teknologi kini.

Namun kita juga perlu tahu disamping kita berdakwah menggunakan Facebook dan blog, kita mungkin terlupa method dakwah yang lebih berkesan dan mempunyai nilai-nilai kemanusiaan yang amat tinggi.

Seharusnya disamping kita menggunakan Facebook dan blog untuk mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran, kita juga harus berdakwah secara berdepan atau dengan kata mudah dari mata ke mata. Bukankah jika perkara itu hadir dari mata ke mata akan tersemat dihati?

Ya, kita berdakwah menggunakan Facebook. Ya, kita mengajak kepada kebaikan menggunakan blog. Dan jangan lupa kita juga harus mengatakan 'Ya!' kepada 'tarik tangan kawan ke masjid', 'ajak keluarga bersahur bersama', dan 'marah kawan jika melakukan kesilapan'. Di samping kita berdakwah menggunakan teknologi, kita juga berdakwah dari hari ke hati. Jangan jadi mereka yang sudah dapat gading bertuah, tanduk tidak berguna lagi namun jadilah seperti 'Sudah dapat Ferrari bertuah, Kancil juga tersemat dihati'.


BERDAKWAH DENGAN LISAN DAN BERDAKWAH DENGAN HAL

Dan diantara jalan dakwah yang berkesan ialah dengan menunjukkan contoh yang baik. Kadang-kadang bila berhadapan mereka yang mengatakan 'kubur kita masing-masing', amat payah bagi kita untuk menegur mereka walaupun dengan cara berhikmah dan menggunakan nada cinta sekalipun. Namun apabila kita menunjukkan contoh yang baik dengan niat ia sebahagian daripada jalan dakwah, Insya Allah sahabat kita itu akan terikut dengan tingkah laku kita.

Ingatlah dari Abi Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Sesiapa yang mengajak kepada kebaikan, maka ia memperolehi ganjaran pahala sebagaimana pahala yang diperolehi oleh orang-orang yang mengikutnya. Tidak dikurangkan sedikitpun daripada pahala mereka itu dan sesiapa yang menyeru kepada kejahatan, maka ia memperolehi dosa sebagaimana dosa yang diperolehi oleh orang yang mengikutnya, tidak dikurang sedikitpun dosa-dosa mereka tersebut." [HR Muslim. Dipetik dari kitab Adab-adab Islam Dalam Kehidupan Seharian muka 5; Mohammad Zulkifli Abdul Ghani; PMRAM, Kaherah].

Jika anda tidak sanggup untuk mengajak kepada kebaikan sekalipun, maka janganlah anda menagajak kepada kemungkaran.

Wallahu 'alam.

p/s: Dahulu pelajar-pelajar yang menuntut di luar negara amat susah untuk berhubung dengan keluarga mereka. Mungkin hanya surat sebagai pengubat rindu. Namun kini bagi ibu bapa yang ingin menayakan khabar anak-anak, cukup sekadar menghantar SMS dan mungkin juga Facebook. Pada pandangan saya manusia amat menghargai sesuatu jika ia sukar untuk mendapatkannya. Maka mana yang lebih berharga rasanya bagi mereka yang bersusah payah menghantar dan menerima surat sesama keluarga yang dirindui ketika menuntut di luar negara berbanding mereka yang berhubung melalui SMS yang tidak sampai 1 minit sudah diterima?
Saya yang jarang mendapat SMS dari keluarga tercintapun sudah amat menghargai mesej tersebut apatahlagi mereka yang mendapat surat. Sweet meh ^_^
Buat keluarga, saya berharap agar anda jarang menghubungi saya melalui Facebook kerana ingatan anda di Facebook susah untuk disimpan. Cukup sekadar menghantar SMS sebagai pengubat rindu.

0 pandangan cinta:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Copyright © NOTA CINTA Design by Muhammad Salman al Farisi | Blogger Theme by Al Irani Muhammad | Powered by Blogger