Suatu ketika bila saya memasuki madrasah yang menjadikan dakwah sebagai asasnya, ada seorang sahabat yang mengisahkan perihal hidupnya di saat remaja. Umurnya sebaya saya, susuknya tampan dan memikat hati wanita mungkin. Dalam banyak hal, saya lebih suka mendengar kerana Allah SWT kurniakan kepada saya dan anda 2 telinga sedangkan 1 mulut. Walaupun saya kadang-kadang terlebih banyak bercakap. (Wah3..)
Sambung cerita,
Di saat mudanya, ketika beliau masuk ke kelompok kebebasan iaitu ketika umurnya mejangkau 16 tahun. Bagi setiap pelajar, umur 16 tahun iaitu ketika di tingkatan 4 merupakan waktu yang paling bahagia dalam hidup. Syurga Remaja! Di saat baru menghabiskan hidup untuk BELAJAR! BELAJAR! dan BELAJAR! Sebelum tiba saat untuk kembali BELAJAR! Waktunya ramai yang baru akil baligh. Mengenal indahnya zahir nafsu dan syahwat.
Beliau lepasan sekolah agama masuk ke Sekolah Menengah Kebangsaan di ibu kota. Seperti orang yang di dalam penjara baru menjejaki dunia.
Di saat hari pertama memasuki kelas, dia mengalami perubahan suasana yang teramat sangat. Kali pertama melihat pelajar lelaki meriba pelajar perempuan di dalam kelas. Pertama kali melihat pasangan couple berpimpingan tangan ketika pulang dari sekolah. Ada yang mencium tangan pasangan seperti sudah menikah.
Setelah sebulan bergaul dengan kawan-kawan seperti itu, beliau lama semakin lama semakin terikut. Pulang sekolah akan pergi ke pasaraya berdekatan berpegangan tangan dengan aweknya persis filem Romeo And Juliet.
Namun pemuda itu bersyukur, kerana sepanjang tempoh dia di sekolah tersebut (6 bulan kalau tak silap), dia tidak pernah lagi melakukan zina dan meminum arak walaupun kawan-kawan sekelas denganya sudah melakukanya. (Semoga Allah SWT menerima taubat mereka Insya Allah)
CINTA MASIH ADA BUAT MEREKA YANG MAHU BERTAUBAT
Allah SWT masih sayangkan hambanya. Dia diberhentikan dari sekolah tersebut kerana terlalu nakal mungkin. Namun hikmah dia diberhentikan merupakan pintu gerbang kepada jadinya dia seorang hamba Allah SWT yang bertakwa, Insya Allah.
Dia dimasukkan ke madrasah tabligh dan di situ saya berkenalan denganya. Menjadi sahabat kepadanya. Kerana saya rasa dia 'satu kepala' dengan saya.
Alhamdulillah, sepanjang perkenalan kami, saya melihat dia lebih baik dari sebelumnya berdasarkan apa yang dia cerita. Kami banyak berkongsi masalah dan saya ingin sekali bertemu dengannya. Semoga dia membaca tulisan saya dan tahu bahawasanya saya merinduinya. Diakhir cerita dia menyatakan; "Lagi seronok jadi baik rupanya".
Saya kaitkan kisah beliau dengan dialog diantara Allah SWT dengan para malaikat disaat Allah SWT ingin menjadikan khalifah di muka bumi berdasarkan surah Al Baqarah ayat 30 yang bermaksud;
"Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat "Aku hendak menjadikan khalifah di muka bumi". Mereka berkata; "Apakah Engkau hendak menjadikan orang merosak dan menumpahkan darah di sana, sedangkan kami bertasbih kepada-Mu dan menyucikan nama-Mu". Dia berfirman; "Sesungguhnya aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui".
JANGAN MENGHARAP PUCUK DICITA, ULAM MERASA
Wahai kamu yang saya cintai, walaupun dalam sedikit peristiwa yang menunjukkan hidayah Allah SWT datang kepada hambanya, namun usaha dalam mencari hidayah itu ternyata lebih indah. Saya umpamakan hidayah seperti kereta mewah. Andai kita diberi secara percuma sebuah kereta mewah, kita amat menghargai pemberian itu. Namun penghargaan itu adakah sama dengan usaha kita bekerja sendiri untuk mendapatkan sebuah kereta mewah? Sudah tentu usaha sendiri itu lebih indah dari mengecapi secara percuma.
Saya juga sering cemburu dengan orang yang peroleh iman dengan usaha sendiri kerana iman mereka lebih mantap walaupun saya tetap bersyukur dilahirkan dalam kaadaan beriman.
SAYA BAIK INGIN JADI MUSLIM, SAYA MUSLIM INGIN JADI MUKMIN
Iman kita umat akhir zaman ibarat semut hitam di batu hitam. Gelap dan tidak nampak. Manakala iman para sahabat dan solihin insya Allah sama ada akan meningkat atau menurun.
Iman kebanyakan kita kini seperti 'siangnya kafir, malamnya Islam. Siangnya Islam, malamya kafir'. Kita bukan sepanjang waktu (dalam bahasa remaja twenty four seven - 24/7) ingat kepada Allah SWT. Betul atau tidak?
Maka walaupun 'saya budak sekolah agama', 'saya tudung labuh', 'ayah saya pendakwah' atau 'saya budak baik' (ayat last ni tak boleh belah) bukan bermakna iman kita sempurna. Maka mari kita bertekad 'SAYA INGIN JADI LEBIH BAIK SELEPAS BACA BLOG INI'. Dan saya juga berharap dapat jadi lebih baik selepas tulis post kali ini. Insya Allah. Kerana menjadi baik itu lebih indah.
Saya ingin kita jadi lebih baik sebab saya cinta kamu.
Kaherah, Mesir
09.32 am 03 November 2010
0 pandangan cinta:
Post a Comment