Followers

Monday, November 1, 2010

AYAHKU SEBAHAGIAN DEGUP CINTAKU

Seorang lelaki datang berjumpa Amirul Mukminin, Saidina Umar Ibn Khattab RA. Lelaki itu pergi untuk mengadukan masalahnya dengan anaknya. Kemudian Saidina Umar memanggil anak kepada lelaki tersebut agar perkara itu boleh diadili dengan adilnya.
Ketika menemui Saidina Umar, anak lelaki itu mengadukan soalan kepada Saidina Umar; "Wahai Amirul Mukminin, adakah seorang anak itu mempunyai hak ke atas ayahnya?".
"Ya!" Jawab Amirul Mukminin.
Lantas anak tersebut meneruskan soalan yang berbunyi; "Apakai itu wahai Amirul Mukminin?".
Saidina Umar menjawab; "Memilih ibu yang baik baginya, memberikan nama yang baik dan mengajarkanya al Quran".

IBUKU SEORANG YANG BAIK, NAMAKU BAIK & DIA MENGAJARKANKU AL QURAN

Saya amat mengagumi ayah saya. Namanya Haji Muhammad Bin Zakariah. Sepanjang hidup saya selama 19 tahun, dia telah menjalankan tanggungjawab sebagai ayah dengan amat baik. Bukanlah kemampuan saya untuk menulis jasanya.
Seperti kata-kata saidina Umar al Khattab tadi, ayah saya juga telah memilih ibu yang baik bagi anak-anaknya. Nama ibu kami Rusnah Binti Abu Samah. Ibu saya sebahagian dari degup jantung saya. Sungguh tiada pertukaran yang layak baginya. >_<
Yang ke-2, ayah saya telah mengurniakan nama yang sungguh baik bagi adik beradik dan saya. Kesemua nama adik beradik saya persis nama sahabat dan memiliki makna yang sungguh indah. Nama saya seperti nama sahabat Rasulullah SAW, Salman Al Farisi. Sejarah sahabat nabi ini Insya Allah akan saya nukilkan dalam post yang akan datang.
Yang ke-3, ayah saya bukan sahaja mengajarkan kami akan al Quran, malah ilmu yang disampaikanya sebahagian besar dalam hidup saya. Dalam erti makna, AYAH SAYA TELAH MENUNAIKAN TANGGUNGJAWAB TERBAIK kepada kami, adik beradik.

LUKMAN AL HAKIM AYAH YANG DI SEBUT DI DALAM AL QURAN

Kata-kata nasihat yang diucap oleh seorang ahli hikmah, Lukman al Hakim kepada anaknya disebut oleh Allah SWT di dalam al Quran. Ini menunjukkan bahawa setiap kata-kata nasihat seorang ayah kepada anaknya amat bermakna. Berukut merupakan petikan di dalam al Quran surah Luqman (412) dari ayat 13 - 17.
Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa dia memberi nasihat kepadanya: Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar. (13) Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan). (14) Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan denganKu sesuatu yang engkau dengan fikiran sihatmu tidak mengetahui sungguh adanya maka janganlah engkau taat kepada mereka dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik dan turutlah jalan orang-orang yang rujuk kembali kepadaKu (dengan tauhid dan amal-amal yang soleh). Kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan. (15) (Luqman menasihati anaknya dengan berkata): Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya jika ada sesuatu perkara (yang baik atau yang buruk) sekalipun seberat bijih sawi serta ia tersembunyi di dalam batu besar atau di langit atau pun di bumi, sudah tetap akan dibawa oleh Allah (untuk dihakimi dan dibalasNya); kerana sesungguhnya Allah Maha Halus pengetahuanNya; lagi Amat Meliputi akan segala yang tersembunyi. (16) Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya. (17)
JAUHKAN AKU DARI MENJADI AYAH YANG DAYUS

Sambungan kepada kisah Saidina Umar tadi, lalu anak tadi menjawab; "Wahai Amirul Mukminin, dia (ayahnya) tidak melakukan hal itu (hak anak kepada ayah) sedikitpun. Ibuku seorang wanita gelap bekas isteri seorang Majusi, nama yang diberinya kepadaku adalah Ju'ul dan dia tidak pernah mengajarku al Quran satu huruf pun". ('Auzubillahi min-al-zalik)
Terus saidina Umar al Khattab berkata pada ayah budak tersebut; "Apakah engkau datang kepadaku mengadukan penderhakaan anakmu, sedang engkau dulu menderhaka kepadanya, dan dia membuat buruk kepadamu sedang engkau dulu membuat buruk kepadanya".
Di sini aku cuba menyimpan azam dalam diriku dan ingin azam ini disimpan kepada bakal-bakal ayah supaya kita berusaha untuk tidak akan menjadi ayah yang dayus terhadap anaknya.
Yang pertama, untuk mendapat isteri-isteri yang baik, maka seharusnya kita merubah diri kita untuk menjadi seorang lelaki yang baik.
Yang kedua, untuk memberi nama anak yang baik, seharusnya kita cuba contohi sifat-sifat yang baik (mahmudah). Anggap anak kita akan mencontohi perangai kita pada masa kini. Kerana seorang hukama' pernah bermadah;
"Pendidikan anak itu bermula 20 tahun sebelum kelahiran anak tersebut".

Yang ketiga, ajar anak akan al Quran bukan setakat ajar akan membaca, tetapi ajar supaya anak-anak berperangai al Quran, berilmu al Quran dan hidup berpandukan al Quran.

SAYA CINTA AYAH SAYA DAN ANAK-ANAK SAYA

Anak-anak? Bukan makna saya sudah mempunyai anak, tetapi kepada bakal anak saya (ameen ya rob).
Saya cinta akan ayah saya. Ingin menjadi seperti ayah saya dalam kebanyakan perkara.
Saya juga inginkan yang terbaik buat bakal anak-anak saya. Maka saya perlu menjadi yang terbaik sebelum jadikan mereka yang terbaik. Insya Allah!
Post ini ditulis semperna ulang tahun kelahiran ayah saya yang ke-55. Semoga umur ayahnda diberkati oleh Allah SWT. Selamat Hari Jadi Abuya >_<

Salam cinta dari anakmu,

Kaherah, Mesir
9.03 pm 1 November 2010

1 pandangan cinta:

suerafe said...

semoga ayah awak panjang umur dan dikurniakan kesihatan yang baik :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Copyright © NOTA CINTA Design by Muhammad Salman al Farisi | Blogger Theme by Al Irani Muhammad | Powered by Blogger