Followers

Saturday, May 26, 2012

IBU, MENGAPA KITA BERADA DI ZOO?

Anak-anak Kepualauan Batam.
 Baru-baru ini saya berkesempatan menziarahi saudara kita Bangsa Melayu di Pulau Batam, Kepualauan Riau, Indonesia. Banyak pengalaman yang dapat saya timba dari perjalnan dakwah di kepulauan tersebut dimana majoriti bangsa yang menetap di kepualauan tersebut adalah Melayu Asli, bertutur lenggok Melayu di Selangor. Hanya bezanya, mereka terdiri dari agama Islam, Kristian, Hindu dan ada yang tiada agama.

Perjalanan dari Stulang Laut, Johor hingga ke jeti di Pulau Batam mengambil masa kira-kira 2 jam. Dari sana, kami menginap di Sekolah Islam Menengah Hang Tuah yang diusahakan oleh seorang yang saya gelarkannya sebagai Wak Imbalo.

Dari sana, kami ahli sukarelawan Persatuan Belia Sri al Ain (BERSAMA) seramai 7 orang menjejaki sejumlah pulau sama ada yang dekat ataupun yang terpencil dari Pulau Batam, pulau utama Kepulauan Riau.

Misi kami hanya sebagai langkah pertama untuk misi yang lebih besar yang akan dianjurkan selepas ini. Kami dalam misi ini hanya mengenali bahasa, cara bicara dan adat tempatan sebelum memulakan ruang dakwah yang lebih besar di sana nanti.

Diantara yang menarik yang saya dapat ceritakan ialah, ada diantara keluarga di sebuah pulau terpencil di mana di dalam sebuah keluarga ayahnya beragama Kristian manakala isteri dan anak-anaknya yang lain beragama Islam. Untuk menjaga agama yang dianuti oleh isteri dan anak-anaknya, suami tersebut telah membina sebuah surau bagi memudahkan urusan agama Islam di jalankan. Sayangnya, surau hanya menjadi tempat tinggal lelabah dan cicak kerana kegiatan Islam langsung tidak berlaku di sana.

Pendakyah Kristian turut berjaya melaksanakan kegiatan mereka kerana ketandusan pendakwah Islam di sana. Jadi, tidak hairan jika kami mendapati ada diantara orang Melayu yang menganut agama Kristian samaada dari fahaman Katholik ataupun Protestan.

Sama ada Islam memang ketandusan pendakwah, kekurangan dana, atau tidak sanggup bekorban ikhlas demi Islam, saya hanya tinggalkan persoalan tersebut pada anda semua. Sebab disana ada 1001 soalan dan jawapan. Hanya mereka yang bergiat penuh dapat memahami survival dakwah yang sebenar.


KISAH UNTA

Suatu hari, seekor anak unta bertanya pada ibunya; "Ibu, mengapa dibadan kita semua mempunyai bonggol?"

"Owh, ini kelebihan kita. Bonggol ini membuatkan kita mampu berjalan lama di padang pasir. Di dalam bonggol inilah tersimpanya makanan yang akan kita gunakan ketika berada di padang pasir," jawab ibu unta tersebut.

Tanya anak unta itu lagi; "Owh, begitu. Mengapa pula bulu mata kita panjang ya?"

"Ini juga kelebihan kita. Bulu mata yang panjang membuatkan kita dapat bertahan dari debu-debu ketika berjalan di padang pasir."

"Owh, jadi kita adalah haiwan yang tinggal di padang pasirlah ibu ea?"

Jawab ibu unta tersebut; "Ia, tepat sekali."

"Jadi, mengapa kita sekarang berada di zoo?"

"@#$%^&*"


POTENSI PEMUDA

Setiap dari kita ada potensi diri masing-masing. Dan potensi diri itu berlainan bagi tiap-tiap individu. Namun, bagai mana anda melaksanakan potensi pada diri anda?

Kisah unta diatas adalah sebuah kisah yang menggambarkan bagaimana kelebihan dan potensi unta itu tidak dapat digunakan, sesuatu yang diberi kelebihan oleh Allah SWT akhirnya menjadi bahan hiasan dan pameran. Menfaat tersebut bukan sahaja tidak dapat dinikmati oleh orang lain, malah unta tersebut juga tidak dapat merasai bagaimana untuk mengaplikasi kelebihan tersebut.

Begitu juga manusia. Ketika umur pemuda yang amat diketahui gagah perkasa, kuat, bertenaga juga mempunyai daya fikir yang mantap, amat rugi bagi mereka masih duduk terlena membazirkan ruang masa, tenaga dan akal fikiran orang muda pada perkara yang sia-sia.

Ketika melaksanakan gerak dakwah di Kepulauan Riau seperti yang saya cerita di atas, saya sempat bertanya kepada salah seorang sukarelawan kami; "Ustaz, saya lihat ustaz sudah tua, tetapi ustaz masuh mampu melaksanakan gerak kerja orang muda. Apa rahsianya?"

"Kau lihat aku tua, sebenarnya aku masih muda. Malah aku juga bisa melakukan kerja-kerja yang dilakukan oleh pemuda. Kerana aku juga pemuda. Kau perlu tahu, yang dinamakan sebagai pemuda itu bukan pada umurnya, tetapi pada semangat dan kerjanya. Jika seorang itu umurnya masih muda, tetapi tidak semangat dan kerjanya tidak bagus, dia bukan digelar pemuda. Tetapi, jika seorang itu umurnya sudah tua, tetapi semangat dan kerjanya masih bagus, dia juga pemuda."


RUANG KERJA YANG MASIH LUAS

Kita masing-masing ada potensi dan kelemahan yang tersendiri. Namun, bagaimana kita mengurus potensi dan kelemahan tersebut agar ia kelihatan amat sesuai dengan gaya hidup kita.

Ketika zaman Rasulullah SAW, sahabat yang kaya sebagai pedagang akan menyumbang dalam bentuk harta, yang kaya dengan ilmu akan menyampaikan Islam manakala yang kuat dengan tenaga akan berada di barisan hadapan perang. Ini contoh perlaksanaan potensi dan kelemahan agar ianya seimbang dalam melakukan sesuatu perkara.

Dalam skop pekerjaan, pekerja yang cekap kerja mungkin boleh diberi kerja yang lebih, yang ada ciri-ciri pemimpin diberi dalam bidang pengurusan dan yang banyak idea mungkin boleh disalurkan dalam bidang pengeluaran. Hasil dari 'give-and-take' potensi dan kelemahan itu akan membuahkan hasil yang mantap.

Hasil dari peluang gerak dakwah kami di Batam juga merumuskan saya kepada berberapa perkara. Antaranya ialah gerak kerja sebagai pendakwah itu terlalu luas. Seluas langit yang membumbungi manusia di muka bumi ini.

Masalah umat tidak hanya apa yang ada dalam fikiran kita, malah lebih dari itu. Sesuatu masalah yang berlaku pada umat Islam kini kebanyakanya tidak pernah ada dalam ruang lingkup minda kita, jika kita hanya melaksanakan gerak kerja dakwah yang sempit. Apatah lagi jika dakwah yang kita lakukan hanya di alam maya. Maka amat rugi bagi mereka yang masih membincangkan masalah kecil dan cabang dalam agama walhal masih banyak perkara yang perlu kita bincangkan.

Saya katakan ini bukan kerana mahu menghalang anda dalam melaksanakan posisi dan potensi anda sebagai pendakwah, cumanya saya mahu memberi cadangan kepada anda agar pelbagaikan gerak kerja dakwah agar potensi anda boleh digilap dengan lebih hebat.

Kita sering memerli ahli maksiat dan bid'ah yang melakukan dakwah, dengan kata caci maki yang menunjukkan hanya kita yang sempurna. Sedangkan kita tidak tahu mungkin dengan sebab dakwah yang dilakukan oleh ahli maksiat tersebut membuatkan mereka yang terkesan dengan dakwah ahli maksiat tersebut lagi tinggi imannya dan diredhai oleh Allah SWT dari diri kita sendiri.

Jika anda menghati potensi orang sekitar anda, mungkin anda tidak sampai hati ingin membandingkan dirinya dengan anda. Atas sebab itulah potensi dan kekurangan harus diseimbangkan dengan orang sekeliling.

Saling berusaha untuk tingkatkan potensi diri, jangan pertikaikan yang lain.


POTENSI DIRI, DIGILAP DAN DIGUNAKAN

Anda semua ada potensi yang besar dalam melaksanakan sesuatu pekerjaan dan dakwah dalam bidang masing-masing. Cumanya, anda sahaja tidak tahu, tidak kenal, tidak perasaan dan mungkin anda merasakan potensi anda tidak dapat digunakan.

Anda selalu menjadi bahan cacian sehingga anda menyendiri dan tidak kenal akan potensi dalam diri anda yang sebenarnya.

Di mana silapnya?

Silapnya pada diri anda sendiri. Orang lain tidak akan kenal dengan diri anda melainkan diri anda sendiri. Mereka tidak tahu apa yang anda lihat, apa yang anda fikir, apa yang anda makan dan apa yang anda baca. Atas sebab itu, hanya anda sahaja yang akan kenal akan potensi dalam diri anda yang sebenar.

Post kakak saya di Facebook pagi ini; "Jangan menunggu runtuhnya Kota Melaka, baru mencari papan di Jawa, tetapi carilah dulu papan di Jawa, Insya Allah akan terbangun Kota Melaka."

Semoga bermenfaat.

0 pandangan cinta:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Copyright © NOTA CINTA Design by Muhammad Salman al Farisi | Blogger Theme by Al Irani Muhammad | Powered by Blogger