Followers

Saturday, May 25, 2013

NOTA IMTIHAN

0 pandangan cinta
Waktu perperiksaan ini, bagi saya topik perbualan yang paling sering ditanya oleh kawan-kawan ialah mengenai pulang ke Malaysia.

Tadi ada seorang kawan tanya kepada saya; "Man, kau balik Malaysia tak?"

Seperti biasa, tiap2 kali ditanya soalan seperti tu, saya akan jawab; "Tidak kot." Jawapan mudah ini saya beri kerana tidak mahu membebani emak & abuya saya dengan tambang balik yang agak mahal bagi saya.

Balas dia; "Man, baliklah sementara mereka berdua masih ada di dunia. Kita tak tahu sebenarnya emak dan ayah kita rindukan kita kat Malaysia. Seorang ibu yang mengandungkan kita selama 9 bulan, kemudian sampai Mesir masih menanggungkan kita.

Bila kau ada peluang untuk balik Malaysia, maka baliklah. Mungkin waktu kau balik itu adalah saat terakhir kau melihat mereka. Mungkin mereka nak sangat kita balik sebab mereka sangat rindukan kita, sedang kita tidak tahu.

Kita kalau menuntut ilmu setinggi manapun, sehingga mampu berkhidmat pada agama, sedang kita tidak pernah berkhidmat pada ibu, semua itu tiada makna."

Kata-katanya ringkas. Hati sebak. Akhirnya saya mengambil kesimpulan mudah untuk berusaha pulang ke Malaysia cuti akhir semester ini.

Insya Allah, saya akan mengambil perperiksaan akhir 'idadi Maahad Buuth Islamiah tanggal 2 Jun sehingga 23 Jun ini. Saya harap ada yang mendoakan saya agar saya dapat menjawab dengan baik & ilmu saya diberkati.

Moga najah.
Read full post »

Friday, April 5, 2013

SATU NOTA PILIHANRAYA

0 pandangan cinta
Jamaah, persatuan, idealogi atau apa sekalipun yang berkaitan dengannya. Tidak akan sunyi dengan karenah 'penganutnya'. Ramai dan sedikit itu hanyalah bilangan. Benar atau tidak itu hanyalah pandangan.

Setelah 21 tahun keluar dari rahim ibu, saya telah 'berkenalan dengan begitu banyak jamaah Islam di Malaysia. Pas, Ikram, Isma, Abim & Hizbut Tahrir. Semuanya mempunyai agenda, ideologi dan pandangan yang tersendiri.

Bukan tujuan saya ingin menceritakan mengenai siapakah mereka.

Akan tetapi wujud dalam kalangan kita. Yang berkongsi sesuatu pada garis masa. Yang berkaitan dengan ideologi mereka. Dengan nafsu dan buruk sangka. Hingga terabai fitnah dosa. Carutan dan makian pada setiap kata.

Kebetulan, waktu ini pasca pilihanraya. Bagi mereka, ideologi mereka hanya satu-satunya yang benar. Tiada lain. Sedang mereka tidak sedar, wujudnya oposisi. Oposisi yang juga menyangka mereka benar. Membenarkan ideologi sendiri.

Kini bukan lagi bertikam lidah. Tetapi bertikam papan kekunci. Bagi memberikan dalil; "Hanya aku yang suci." Hingga 'kawan' di Facebook itu, sebenarnya teman berlawan untuk menghabiskan sisa masa. Tanpa mereka tahu; jika seseorang sudah akui akan ideologi mereka, beriman dengan pandangan mereka, berikanlah walau sejuta hujah, tidak akan mereka terima.

Bagi saya, sebagai seorang Muslim yang tidak percaya kepada demokrasi. Tetapi memilih Pas sebagai ideologi;

PRU 13 merupakan pilihanraya yang hebat. Kerana rakyat sudah melihat; hasilnya pemerintahan 4 tahun kerajaan provinsi. Dari Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat. Dari situ yang pintar akan dapat menilai, yang mana mereka pilih untuk menjadi kerajaan pusat.

Kesian pada mereka yang masih bergaduh pada garis masa. Lagi kesian kepada mereka yang sudah melihat kepincangan dari pemimpin yang pincang, undi masih kepada yang lama.

Kerajaan yang bagus akan melahirkan rakyat yang bijak. Akan memperbaharui sistem pendidikan agar lebih baik. Mungkin memberi pendidikan percuma.

Sedang kerajaan yang menghalang pendidikan dengan pinjaman, sekatan & bayaran, adalah sebuah kerajaan yang tidak mahu melihat rakyat bijak. Agar rakyat sebegini akan tetap memilih mereka, biarpun dipijak.

Untuk mengelakkan kita menjadi seorang rakyat rela dipijak, maka banyakkan membaca. Pembacaan akan menentukan siapa kita. Jika jenis yang membaca akhbar Utusan; sejenis akhbar yang telah disaman sekian kali kerana berita fitnah, tidak mustahil anda menjadi pembuat fitnah.

Ini hanya penulisan saya untuk himpunkan perasaan saya terhadap PRU 13. Dalam satu nota.

Saya harap, selepas ini saya bukannya lagi yang bergaduh hanya untuk membenarkan ideologi. Tetapi lebih kepada memerhati, lalu banyakkan pembacaan yang berisi. Dari 2 aspek tersebut saya terjemahkan dengan perbuatan. Semoga dengan blog ini saya dapat kongsikan.

Semoga anda tahu, harapan paling besar saya adalah tidak menulis mengenai PRU 13. Itu satu harapan.
Read full post »

Sunday, March 31, 2013

SETIA AKU; PERLUKANMU

0 pandangan cinta



Aku memerlukanmu untuk hirup kemanisan ukhwah ini,
Sekalipun yang manis itu sepahit peria.

Aku memerlukanmu untuk bukti cinta ini,
Sekalipun bukti cinta itu ada tanpa kamu.

Aku memerlukan doamu sebagai tulang belikatku,
Sekalipun tanpa doamu tulang belkatku teguh utuh.

Aku memerlukan cahaya purnama menerangi malam gelita,
Sekalipun tanpa purnama malam tetap menjelma.

Aku memerlukan ibu untuk dirindu,
Sekalipun tanpa rindu dia tetap ibuku.

Aku memerlukan jari menari menulis puisi ini,
Sekalipun puisi ini bisa tertulis tanpa jari.

Aku memerlukanmu menghilangkan tangis sedu,
Sekalipun tanpa kamu tangisan ini kering sendiri.

Aku memerlukan redha-Mu ya Allah,
Sekalipun aku; dusta, hina.

Salman al Farisi
1123 PM 4 Mac 2013
Kaherah
Read full post »

Sunday, June 17, 2012

RUMAH BUJANG VS RUMAH TANGGA

3 pandangan cinta

Lagi 4 bulan genap 2 tahun saya berada di bumi Mesir. Begitu banyak yang saya belajar dari awal kedatangan saya sehinggalah ke saat ini. Mungkin akan lebih banyak yang saya akan tempuhi pada masa akan datang.

Diantaranya, saya diajar secara praktikal, bagaimana menguruskan sebuah rumah. Saya dilantik menjadi ketua rumah bujang kami dan tinggal bersama saya adalah junior saya ketika di sekolah menengah dahulu.

Dengan berbekalkan duit poket dari emak dan abuya sebanyak RM 400 - RM 500 sebulan, saya belajar agar duit sebanyak itu cukup buat perbelanjaan saya di sini. Secara kasarnya, kebanyakkan pelajar Malaysia di sini menerima sumbangan wang zakat negeri. Dan saya diantara pelajar Malaysia yang tidak layak menerima sumbangan zakat itu ketika para menteri yang kaya raya dengan mudah menerima bantuan wang zakat.

Tinggal di rumah bujang telah mematangkan minda saya. Bagaimana untuk menguruskan 6 orang ahli dengan pelbagai ragam serta tarif air dan letrik, harga gas dan barang dapur yang tidak menentu. Ini membuatkan saya berfikir kesusahan emak dan abuya saya dalam survival mereka membesarkan kami adik beradik.

Bukan itu sahaja, saya selaku ketua rumah juga sering berfikir bagaimana untuk menjadi contoh yang baik buat mereka agar wujud suasana Islamic di rumah kami. Menjadi aib buat saya selaku ketua rumah menunjukkan contoh yang buruk buat mereka. Dan perkara ini yang amat sukar dan sering diabaikan oleh saya.

Ironinya, seorang suami dan ayah lebih patut menunjukkan contoh yang baik buat isteri dan anak-anak. Seorang anak tidak akan banyak belajar melalui bicara ibu dan ayahnya, tetapi mereka banyak belajar melalui perbuatan ibu dan ayahnya. Bertepatan dengan satu pepatah arab yang bermaksud; "Contoh melalui perbuatan adalah lebih baik dari lisan."

Seorang ibu telah menanyakan kepada seorang motivator mengenai masalah rumah tangga yang berlaku kepadanya. Katanya, anaknya memiliki sifat buruk seperti merokok, kuat melawan, mencuri dan sebagainya. Soal motivator tersebut kepada ibu tadi, apa yang dilakukan olehnya dan suaminya di rumah? Adakah suaminya menunjukkan contoh yang baik? Dan adakah suaminya merokok? Adakah ibu tersebut pernah melawan perintah suaminya dan adakah si ibu dan suaminya pernahkah bergaduh di hadapan anak-anak? Kebanyakan soalan tersebut kembali kepada ibu bapa tadi.

Dan sesebahagian kes, ibu bapa memiliki akhlak yang baik tetapi anak-anak pula yang bersifat bertentangan dengan ibu bapa. Bagi saya dalam kes ini, ibu bapa banyak menyerahkan soal pendidikan anak-anak itu kepada sekolah dan asrama. Walhal, sekolah dan asrama adalah satu alam dimana anak-anak akan bertemu dengan 1001 perangai yang 'lebih menarik' yang tidak ada di rumah mereka.


SURVIVAL PELAJAR INDONESIA

Bagi pelajar Indonesia, mereka perlu lebih survival bermula negara mereka sendiri semata-mata ingin menuntut ilmu di Mesir. Dengan kuota penghantaran pelajar yang sedikit, ibu bapa terpaksa memberi suapan kepada pihak pengurusan kerajaan Indonesia bagi membenarkan anak mereka belajar di sini.

Seperti kebanyakan pelajar Kelantan yang datang sendiri tanpa bantuan zakat ke Mesir, ibu ayah pelajar Indonesia juga akan menjual bendang bagi membiayai pembelajaran anaknya di sini. Demi melahirkan seorang anak yang ada pendidikan agama.

Pelajar Indonesia kebanyaknya terpaksa berniaga dalam masa yang sama mereka cemerlang dalam belajar. Dan kesusahan mereka ketika menuntut ilmu itulah membuatkan kebanyakan mereka lebih berjaya dari pelajar Malaysia sendiri, sedang pelajar Malaysia terlalu mewah dengan bantuan zakat.

Ramai diantara pelajar Indonesia yang memperolehi keputusan keseluruhan 'mumtaz' (sangat cemerlang) dalam perperiksaan dan 'jayyid jiddan' (cemerlang) itu dikira biasa. Walhal, pelajar Malaysia sendiri untuk memperolehi keputusan 'jayyid jiddan' adalah perkara yang amat sukar dan amat sedikit yang memperolehinya.

Seorang kenalan saya yang membuka restoran makanan Malaysia di sini mengeluh kerana dia terpaksa mengambil mahasiswa Indonesia untuk bekerja. Katanya, kebanyakan orang Melayu terlalu malas untuk bekerja, dan jika ingin bekerja sekalipun mereka mahukan gaji yang tinggi. Mungkin ini salah satu sebab mengapa orang Melayu amat sukar untuk membayar kembali hutang PTPTN.


RALITI RUMAH TANGGA

Saya teringat kata-kata Ustaz Hasrizal Abdul Jamil di laman Twitter yang seakan-akan ini; "Jangan sesekali ingat alam perkahwinan ini hanyalah peng-halal-an cintan cintun. Ianya adalah satu 'project management'. Kesannya lebih besar dari membuka sebuah logi nuklear."

Saya orang bujang yang belum lagi masuk ke alam pernikahan, namun bahangnya sudah saya rasai sekian lama. Bermulanya bahang itu apabila saya mula menjadi ketua rumah bujang saya di sini.

Saya akui, tanggung jawab menjadi seorang ketua itu bukanlah mudah. Dari ketua rumah tangga sehinggalah menjadi ketua negara. Contoh umum yang paling mudah saya beri adalah pada, Dato' Seri Haji Mohammad Najib bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia. Setiap dari tutur kata beliau, pergerakan beliau semuanya dinilai oleh rakyat. Sehinggakan penilaian tersebut bukan sahaja pada beliau, malah turut berlaku pada isteri, anak, mertua bahkan bakal menantu beliau.

Seorang lelaki yang bakal menjadi ketua keluarga seharusnya memikirkan perkara ini. Setiap dari yang anda lakukan menjadi perhatian isteri dan anak-anak, bahkan tidak terkecuali jiran tetangga. Realiti alam rumah tangga perlu difikirkan dari sekarang. Namun jangan hanya kerana anda memikirkanya, menjadikan anda fobia terhadap alam rumah tangga.


SATU PERSEDIAAN

Sempat saya berbincang mengenai usul fiqh bersama sahabat-sahabat. Terkeluar topik membasuh ikan dan baju. Jika mahu tertib yang sebenar untuk menghilangkan kotoran dan najis pada pakaian contohnya, air perlu dilalukan pada pakaian tersebut agar air tersebut membawa sekali najis-najis yang terdapat pada pakaian tersebut sebelum dimasukkan ke dalam mesin basuh. Ini kerana, mesin basuh bukanlah satu alat yang mengikut syariah untuk membersihkan najis. (Sekadar perkongsian, tidak boleh dijadikan dalil hukum)

Maka siapakah yang akan mengajarkan asas fiqh seperti cara membasuh baju kepada seorang isteri jika bukan suaminya. Siapa lagi yang lebih layak menerangkan hal ehwal fiqh wanita (spt: haid, cara membuang air dll) kepada seorang isteri melainkan suaminya?

Pernikahan bukan sekadar hanya di jinjang pelamin dan bukan juga hanya sekadar halalnya percintaan. Malah ia lebih dari itu.

Anda tidak akan sesekali berjaya dalam sebuah perjalanan jika anda tidak pernah mencuba langkah pertama. Bagi saya, alam pernikahan adalah satu perkara yang harus dicuba. Risiko harus dihadapi dengan persediaan yang lengkap sebelum mengambil risiko tersebut. Semua orang tidak akan mendapat risiko yang sama, ada yang kecundang, dan ada yang berjaya.


RUMAH BUJANG SAYA

Sampai masa, saya akan berpisah dengan semua teman serumah saya. Mereka yang saya anggap sebagai teman, sahabat juga keluarga. Hanya mereka pengganti keluarga saya di sini, yang kebanyaknnya bersama saya susah dan senang dan saya kenali sebelum saya saya datang ke Mesir lagi.

Jika ada diantara mereka yang membaca artikel ini, saya mahu mereka tahu bahawa saya amat mencintai mereka. Cinta saya pada mereka hanya Allah SWT yang tahu. Saya mengharapkan ukhwah ini berpanjangan.

Artikel saya hanya sekadar perkongsian mengenai kehidupan rumah bujang saya, survival sahabat saya dari Indonesia dan kaitanya dengan alam rumah tangga yang bakal dijejaki.

Tuntasnya, setiap sesuatu pada diri hanyalah pinjaman, setiap sesuatu yang dijejaki hanyalah persinggahan, dan setiap sesuatu yang berlaku adalah ujian.

Maafkanku 'ahli bait'ku jika berlaku sebarang salah dan silap dariku.

Semoga menfaat.
Read full post »

Tuesday, June 12, 2012

BERIMPIANLAH DENGANKU - HAMZA NAMIRA

0 pandangan cinta





Berimpianlahlah denganku,
Terhadapnya yang akan tiba,
Walaupun ianya tidak akan tiba,
Kita akan mencapainya sendiri.
Kita akan melangkah melalui jalan ini,
Jejak langkah kita inilah yang akan mencapai cita-cita kita.

Walau berapa banyak kali kita jatuh,
Kita akan bangkit semula,
Mencari jalan bagi melalui cabaran dan menentang awan mendung.
Kita akan ubah malam kita menjadi seribu hari,
Jika kita berimpiankannya.

Berimpianlah denganku wahai sahabatku,
Jejak langkah kita akan menghampiri kita,
Aku begitu cakna akan impianku,
Sekalipun apa yang berlaku,
Ia akan tetap bersama kita,
Sejauh manapun perjalanan yang akan kita tempuh,
Walaupun ianya akan hilang, wahai sahabatku,
Bersatunya kita akan mendekatkan kita kepada impian kita,
Bagi mencapai impian kita.

- Hamza Namira -



Setiap orang mempunyai impain mereka yang tersendiri. Begitu juga dengan rakyat Mesir. Mereka mengimpikan sesuatu yang lebih baik berlaku pada diri mereka, keluarga, agama dan negara mereka.

Begitu juga dengan saya, saya juga mengimpikan sesuatu yang terbaik buat diri saya, keluarga, agama dan negara. Amat malang mereka tidak berimpian dengan sesuatu yang baik.

Terjemahan lirik ini adalah versi saya sendiri, mengikut pemahaman saya terhadap lagu ini.

Untuk pencerahan mengenai impian warga Mesir yang ingin diterjemah dari lagu ini, tontonlah video ini; http://youtu.be/U_eSEp8mLzU


Read full post »
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Copyright © NOTA CINTA Design by Muhammad Salman al Farisi | Blogger Theme by Al Irani Muhammad | Powered by Blogger