Followers

Tuesday, November 9, 2010

TIADA YANG LAIN

Suatu petang yang indah, seorang anak baru pulang dari kedai setelah membeli keperluan dapur ibunya. Anak itu memanggil ibunya untuk menyerahkan barang dapur tersebut ketika ibunya sedang sibuk meniapkan makan malan untuk anaknya.
"Ibu. Oh Ibu. Ini barang-barang yang ibu pesan. Baki beserta bil ada di dalam ya bu", kata anak tersebut sambil menuggu sesuatu daripada ibunya dengan senyum yang amat manis.
Terus ibunya memeriksa barang-barang yang dibeli dengan penuh teliti dan mengambil wang baki serta bil yang disediakan.
Lalu di dalam bil tersebut tidak tersenarai barang-barang yang dibeli, tetapi:
Kos upah membantu ibu hari ini:
1) Berjalan kaki ke kedai = RM 3.00
2) Menjemur kain = RM 1.50
3) Membuang sampah = RM 1.20
4) Mengemas rumah = RM 2.00
5) Sapu sampah di halaman = RM 2.30
JUMLAH = RM 10.00
Ibu tersebut memandang anaknya dengan penuh kasih dan sayang yang amat mendalam. Menyembunyikan sedih dihati walaupun air mata sudah berlinangan sedangkan anak tersebut masih menanti duit upah dari ibunya tanpa memahami sedikitpun perasaan ibunya.
Lalu ibunya mengambil secarik kertas dan menulis dengan harapan didikan yang sempurnya untuk anaknya:
Upah ibu kepadamu sepanjang hidupmu:
1) Mengandungkanmu selama 9 bulan = PERCUMA
2) Menjagamu selama 10 tahun = PERCUMA
3) Menyusukanmu = PERCUMA
4) Menjaga pakaian dan minumanmu = PERCUMA
5) Mengajarmu bercakap dan mengeja = PERCUMA
6) Sayang padamu = PERCUMA
7) Mengangis keranamu = PERCUMA
8) Berdoa sepanjang masa untukmu = PERCUMA
9) Bimbang keselamatanmu = PERCUMA
10) Segala jasaku untukmu = PERCUMA
JUMLAH KESELURUHAN KASIH & SAYANGKU = PERCUMA
Setelah anak tersebut membaca bil kasih dan sayang dari ibunya, anak tersebut terus menangis dan memeluk ibu tersebut sekuat hatinya dan berbisik kepada ibu tersebut dengan penuh ikhlas; "Saya sayang ibu. Saya sayang ibu sangat-sangat. Ibu tiada gantinya", sambil mencium pipi ibunya.


KASIHMU IBARAT LAUT YANG TIDAK BERTEPIAN

Seorang ibu mempunyai sesuatu sifat yang tidak akan dimiliki oleh sesiapapun. Sifat sayang yang mendalam terhadap anaknya. Kadang-kadang sifat itu lebih daripada sayang seorang isteri kepada suaminya.
Namun sifat sayang ini yang dibutakan oleh anaknya. Seorang anak yang sering menilai jasanya untuk ibunya sedangkan amat jarang memandang jasa ibunya kepadanya. Dan memikirkan apa yang terbaik untuk dirinya sedangkan susah untuk melakukan apa yang disuruh ibunya demi kebaikan dunia akhirat dirinya sendiri.
Kasih seorang ibu ternyata tiada batas sempadan. Kasih seorang ibu kepada anaknya melebihi sayangnya kepada dirinya sendiri. Mengandungkan dengan penuh sabar dan mendidik dengan penuh kasih dan sayang yang tiada batasan.
Atas nama Allah SWT yang mengurniakan ibu yang terbaik untuk saya, bukan atas kemampuan saya untuk menulis setiap kasih dan sayang yang diberikan ibu saya.
Namun kenapa sebagai anak perkara ini jarang sekali dinilai oleh kita?


BERIKAN PENGHARGAANMU BIARPUN SEKADAR SENYUMAN

Suatu ketika Sayditina Aisyah RA bertanya kepada Rasulullah SAW yang bermaksud;
Siapakah manusia yang perlu di agungkan haknya bagi seorang wanita?". "Suaminya", jawab Rasulullah SAW. Tanya Aisyah lagi; "Bagi seorang lelaki?", jawab Rasulullah SAW "Ibunya". [HR Hakim]
Begitu banyak dalil dan kisah tauladan mengenai perlunya kasih seorang anak kepada ibunya termasuk kisah al Qomah. Juga di dalam hadis ketika saat seorang sahabat meminta izin dari Rasulullah SAW untuk pergi berjihad, lalu Rasulullah SAW bertanya kepadanya "Adakah ibumu masih hidup?", jawabnya "Ya!". Terus Rasulullah SAW meminta pemuda tersebut supaya berbakti dahulu kepada ibnua kerana itu lebih utama.
Juga di dalam firman Allah SWT yang sering kita dengar yang bermaksud;
"Dan Tuhanmu telah perintahkan agar kamu tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata dan hendaklah engkau membuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya atau keduanya-duanya sekali, sampai umur tua dan dalam jagaan dan peliharaanmu, janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) selakipun perkataan 'uh!' dan janganlah engkau menegking dan menyergah mereka, tapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu (untuk mereka dengan berdoa); "Wahai Tuhan kami, cucurilah rahmat kepada mereka berdua (ibu bapa kami) sebagaimana mereka telah mencurahkan (kasih dan sayang mereka kepada kami) ketika kami kecil".
[QS Al Isra' 17 : 23 24]


KAD ULANGTAHUN KELAHIRAN

Suatu petang, ketika saya sedang sibuk membuat persiapan untuk pergi menuntut ilmu di tanah ambiaya' yang penuh berkat ini, Mesir. Saya mencari berberapa barang yang tersedia ada di rumah kerana mengambil barang yang tersedia ada lebih menjimatkan dari membeli.
Lalu saya terjumpa sekeping kad hari lahir yang sungguh cantik. Lalu saya membuka dan dalam hati saya penuh persoalan "Kad birthday siapa nih?".
Saya hampir mengalirkan air mata apabila membaca isinya yang berbunyi seperti;
"Hari ini adalah hari jadi aku. Namun tiada siapa yang ingin memberikan kad hari jadi kat aku. Lalu aku buat kad ini untuk diberikan kepada diriku sendiri.
Aku pergi kesebuah kedai kek dan membeli sebuah kek kecik bagi meraikan hari jadi aku yang ke-47 seorang diri.
Ye lah, siapa yang ingin mengingati diri kita melainkan kita mengingati diri kita sendiri.
Namun aku masih bersyukur kerana 4 daripada anak aku telah mengucapkan ucapan selamat hari lahir kepadaku (dalam senarai tersebut saya diantaranya, Alhamdulillah).
SELAMAT HARI JADI YANG KE-47 wahai Rusnah Abu Samah".
Kad tersebut lalu saya simpan namun terlupa untuk dibawa ke sini sebagai kenangan-kenangan.
Semenjak dari itu saya menyimpan hasrat yang mendalam untuk memberikan kad ulang tahun kelahiran untuk bunda saya. Sedangkan bunda saya sering memberikan kad ulang tahun kelahiran untuk anaknya.


SAYA SAYANG EMAK SAYA

Pada ulang tahun kelahiran beliau yang ke-48 ini, saya ingin menyatakan dalam bentuk pena bahawa SAYA SAYANG EMAK SANGAT-SANGAT. Secara ikhlas saya menulis blog ini dalam tangisan kerana teringatkan emak. Tiada apa yang saya mampu nyatakan, atas sebab itu tulisan saya kali ini kurang mantap.
Buat bunda, terima kasih atas segala-gala yang tidak tertulis sepanjang kurniaan kasih dan sayang daripadamu kepadaku sepanjang 19 tahun hidup ini. Jasamu sungguh tidak akan mampu aku balas.

Nota Cinta ini dituju khas buat ibu saya, Rusnah Abu Samah,
Dari anakmu, Muhammad Salman Al Farisi Muhammad

Kaherah, Mesir,
9:42 pm 09 November 2010

p/s: Pagi tadi saya mendapat satu SMS dari mak angkat saya yang berbunyi "Hari ini hari jadi mak Salman. Ummi nak pastikan bahawa Salman adalah orang yang pertama mengucapkan Selamat Hari Jadi kat mak. Ingat pesan Ummi!".
Tetapi saya lewat mengucapkan selamat hari jadi kat mak setengah jam kerana penat sangat mungkin. Tadi pergi hospital chek darah membuatkan saya tertidur. Maafkan saya kerana terlambat ye mak. ^_^

0 pandangan cinta:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Copyright © NOTA CINTA Design by Muhammad Salman al Farisi | Blogger Theme by Al Irani Muhammad | Powered by Blogger