Followers

Saturday, December 4, 2010

KES AIR & HARGA BARANG! BUKA MINDA, BUKA HATI

0 pandangan cinta

Pernah terjadi suatu ketika Daulah Islamiah Madinah Munawarah pimpinan Khalifah Abu Bakar as Siddiq mengalami kemarau yang panjang. Hujan sudah lama tidak tutun, pokok layu, berlaku kekurangan makanan sehinggakan pasar kelihatan sepi dan rakyat kelaparan.

Lalu seorang rakyat baginda pergi menemui Khalifah ingin bertanya mengenai apa yang selama ini Khalifah lakukan. Beliau bertanya; "Wahai Khalifah penerus pemerintahan Rasulullah SAW. Sudah lama negeri ini tidak hujan, bumi tak mengeluarkan makanan dan manusia sekarang kelaparan. Jalan keluar apakah yang engkau berikan?".

Lalu Saidina Abu Bakar menjawab; "Bersabarlah dan kembalilah kalian semua ke rumah masing-masing. Uthman bin Affan bersama kafilahnya akan datang dari Syam dan Insya Allah esok akan ada makanan".


KENAIKAN HARGA MINYAK, DIESEL, GAS DAN GULA.

Baru-baru ini saya mendengar pelbagai rintihan dari pelbagai lapisan masyarakat mengenai kenaikan 4 keperluan asasi sekaligus. Seperti biasa medan suara yang paling mudah bagi mereka untuk menyuarakan pendapat adalah Facebook. Kadang-kadang penuh caci maki dan kadang-kadang kenyataan yang penuh berkhimah. Dan saya yakin, golongan 'pro-kerajaan yang menaikan harga barang' tidak tahan mata untuk membuka Facebook dalam jangka masa yang lama. Mana tidaknya, hampir kesemua meletakkan protes atas kenaikan tersebut.

Bagi mereka yang berada dalam kerusi pemerintahan, mungkin memikirkan pelbagai jalan keluar bagi masalah tersebut jika mereka pemimpin yang memikirkan rakyat. Namun, bagi pemimpin yang hanya mahu mengayakan kroni dengan projek mega menara 100 tingkat dan pelbagai lagi projek termasuk projek maksiat tidak mampu bagi saya fikir apa yang akan mereka fikirkan.

Namun, sebagai pemimpin yang akan dipersoalkan apa yang mereka pimpin sepatutnya mereka berasa bertangung jawab dan mencari penyelesaian bagi tiap-tiap masalh yang berlaku. Terangkan kepada rakyat perkara yang sebenarnya. Jangan menyekat kebebasan media untuk menyiarkan apa-apa juga kepincangan yang berlaku dalam pentadbiran. Bertindaklah mengikut al-Quran dan as-Sunnah dan contohilah Rasulullah SAW dan Khalifah al Rosyidin terhadap segala aspek terutama kepimpinan.


RAKYAT CEMERLANG, PEMIMPIN GEMILANG, DAULAH TERBILANG.

Seperti yang diperkatakan oleh Khalifah Abu Bakar, keesokan harinya kafilah Uthman bin Affan dari Syam tiba yang terdiri dari 1000 ekor unta yang membawa makanan dan hasil dagangan yang melimpah ruah. Semua barang dagangan tersebut terus disimpan ke dalam gudang milik Uthman bin Affan RA.

Para pedagang (pemborong dalam istilah kini) terus menyerebu ke gudang Uthman dengan mengharapkan sesuatu.

"Apa yang kalian mahukan?", tanya Uthman.

"Kamu pasti tahu apa yang kami mahukan. Juallah barang daganganmu dari Syam kepada kami. Kamu tentu tahu semua orang memerlukanya".

"Dengan senang hati", jawab Uthman lalu bertanya; "Berapa banyak keuntungan yang akan kau berikan padaku?".

"Ya! Dua atau tiga dirham", jawab salah seorang pedagang tersebut.

Tanya Uthman lagi; "Bisakah kalian menambah lagi?".

"Baik! Bagaimana dengan empat dirham", jawab lagi seorang.

"Bisakah ditambah lagi?", tanya Uthman lagi.

"Lima dirham", jawab yang lain.

"Ah! Masih sedikit. Adakah diantara kalian yang ingin menambah lagi?" desak Uthman dengan bersungguh-sungguh.

"Di Madinah tidak ada pedagang lain selain kami. Dan kamilah yang pertama datang kepadamu. Siapakah yang akan memberikan keuntungan yang lebih besar daripada kami?" kata seorang daripada mereka.

Jawab Uthman; "Allah SWT memberikan keuntungan kepadaku sebanyak sepuluh dirham untuk setiap satu dirham. Apakah kalian berani lebih dari sepuluh dirham?"

Lalu mereka menjawab; "Tidak!"

"Kalau begitu, saksikanlah dengan lafaz la ilaha illa Allah, aku menyedekahkan semua barang dagangan dan makanan yang aku bawa dari Syam kepada seluruh fakir miskin dan penduduk Madinah yang memerlukan. Ini semua aku sedekahkan kerana Allah SWT semata-mata", ucap Uthman dengan nada yang pasti.

Semua yang ada disitu begitu terharu. Masing-masing menundukkan muka dan mata mereka hampir mengangis kerana kedermawan Uthman bin Affan RA.

Semua penduduk Madinah pada waktu itu mendapat makanan yang mencukupi. Mereka kembali ke masjid dan melakukan ibadah dengan penuh khusyuk dan syukur.


PEMIMPIN CERMIN KEPADA RAKYAT

Jumaat lepas (3 Desember 2010) saya telah mengikuti Islamic Circle (usrah) terakhir sebelum IC kami dirombak kerana berlaku berberapa masalah.

Fasilitator (naqib) kami telah membuka minda ahli usrah dengan mengajak kami semua berfikir mengenai isu yang terbaru terjadi di negeri Selangor. Iaitu isu Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) ingin menaikkan ta'arif air sebanyak 37%. Antara isu yang diutarakan ialah:

1) Kenaikan 37% tarif air akan menyebabkan harga air begitu mahal sedangkan air adalah salah satu keperluan asasi manusia.
Pentingnya air saya umpamakan seperti udara. Setiap daripada manusia memerlukan air sepertimana manusia memerlukan udara. Bagaimana jika satu hari nanti udara yang anda gunakan akan dikenakan bayaran?
Namun, udara yang dihidu tidak perlu diproses sebelum kita menggunakannya. Sedangkan air perlu diproses sebelum menggunakanya. Maka kos pemprosesan air harus dibayar oleh pengguna tersebut.
Adakah rakyat Selangor perlu membayar harga pemprosesan air dengan lebih mahal sedangkan peningkatan kualiti tidak dilakukan?
Peningkatan harga air bukan sahaja menyebabkan rakyat Selangor menderita, malah ia juga akan membebankan seluruh rakyat Malaysia. Ini disebabkan kerana pusat industri dan pentadbiran Malaysia terletak di Selangor. Dengan naiknya harga air, maka akan naiknya segala kos industri dan pentadbiran yang akhirnya membebankan seluruh rakyat Malaysia.


3) Bebanan yang akan ditangung. Bukan sahaja harga air, malah petrol, diesel, gas dan gula.

4) Demontrasi aman yang akan diadakan esok (5 Desember 2010) yang diketuai oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk menghantar memorandem kepada Yang DiPertuan Agong untuk bersama-sama membantu menangani isu air di Selangor.

Dan pelbagai lagi isu yang diutarakan oleh kami ahli IC. Saya merasakan tidak perlu saya menyertakan link untuk pembaca mendapatkan sumber yang sahih disebabkan saya rasa anda semua mungkin sudah tahu akan perkara ini. Melainkan anda hanya membaca akhbar kongkongan kerajaan yang menutup minda rakyatnya seperti Utusan Malaysia.

Maka kami telah membuat satu resolusi untuk mencadangkan kepada YDP Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM), Ustaz Yazid Ahmad membuat memorandum yang ditanda tangani oleh anak Selangor di Mesir bersama-sama Menteri Besar Selangor untuk dihantar ke Yang DiPertuan Agong Malaysia.

Saya yakin minda kami ahli IC lebih terbuka selepas usrah tersebut.



BUKA MINDA, BUKA HATI

Selepas saya pulang ke sesuatu tempat dimana pelajar Selangor ditempatkan buat sementara waktu, saya agak terkilan apabila masih ramai diantara mahasiswa Selangor khusunya dan Malaysia amnya masih tertutup minda mereka terhadap isu ini.

Mahsiswa adalah golongan intelektual yang akan membentuk sesebuah negara pada masa akan datang. Yang akan menjadi faktor ekonomi, pembangunan, kesihatan, perundangan dan pelbagai lagi faktor peningkatan sesebuah tamadun. Mengapa perlunya menghabiskan masa bermain mainan komputer dan menonton movie yang tiada faedah. Masih tidak cukupkah hiburan yang digariskan oleh Islam buat anda sehingga anda perlu mengikut hiburan yang direka untuk merosakkan Islam?

Buka minda, buka hati.

Tolong peka terhadap isu semasa dan kurangkan membuat perkara yang tidak manfaat.


PEMILIHAN PEMIMPIN DITANGAN ANDA

Wahai pembaca yang dicintai sekalian, sesungguhnya pemilihan pemimpin ditangan anda. Adakah anda masih lagi ingin memilih pemimpin yang akan menghabiskan wang rakyat membina menara 100 tingkat, menjadikan Malaysia hab hiburan malam yang ternyata maksiatnya, menaikkan harga keperluan asasi dan pelbagai lagi kepincangan dengan pemimpin yang akan bersama-sama rakyat menyerahkan memorandum untuk menyelesaikan isu air, memberi subsidi air, pemimpin dikalangan ulama' dan pelbagai lagi isu yang ditutup oleh media kerajaan?

Anda semua adalah penentu untuk Malaysia.

Wallahu 'alam.
Read full post »

Thursday, December 2, 2010

TANGISAN SEORANG HAMBA

4 pandangan cinta
Seorang kanak-kanak yang belum kenal erti sebuah tangisan seorang hamba.

Tangisan seorang kanak-kanak yang sukar untuk ditafsirkan kecuali bagi mereka yang bergelut menggadai nyawa untuk melahirkan kanak-kanak tersebut.

Kanak-kanak yang akan menjadi khalifah Allah SWT di saat perlunya ia akan taat, patuh dan beribadah hanya kepada Allah SWT.

Mengapa amat payah bagi kebanyakan pemuda seperti saya untuk menangis.

Menagis ketika mengenagkan dosa dan noda yang dilakukan.

Menangis kerana tidak mampu menjadi hamba yang selayaknya.

Menangis kerana tidak cukup amal untuk di bawa.

Dan menangis ketika rindukan ibu bapa di saat jauh.

Mungkin hanya kerana sombong semua ini terjadi.

Maka bertapa sucinya hati seorang kanak-kanak yang tiada walaupun sebesar zarah sifat sombong sehingga menghalangnya menagis.

Mari belajar menagis [Q,q]
Read full post »

Wednesday, December 1, 2010

TANGISMU TANGISKU JUGA

0 pandangan cinta
Saat saya menulis post kali ini, saya dalam kaadaan rindu yang amat sangat. Rindu selepas membaca blog cinta saya, Ummu Jannah dengan tajuk "merompak, mengais, nasib anda UMMU JANNAH".

Wah3. Lagu dia touching abis doe.

Buat kali ke-2, saya membenarkan kata-kata cinta saya juga, Ummu Solehah bahawa "UJIAN PENUNTUT ILMU: Financial, Malas, Shahwat (rindu & cinta), Sahabat dan Environment".

Berberapa hari selepas menyambut hari raya Aidil Adha di negeri seribu menara; Kaherah, cinta utama saya selepas Allah SWT dan Rasulullah SAW, Rusnah Abu Samah meminta saya untuk menceritakan pengalaman saya beraya di sini. Raya pertama di perantauan walaupun pada masa ini saya baru sahaja menjejakkan kaki ke bumi Mesir ini.

Raya saya disini 1 hari awal dari Malaysia. Ini kerana Mesir mengikut hari wuquf di Arofah manakala Malaysia mengikut konsep rukyah dan hisab.

Seminggu sebelum hari raya Aid Adha, kawasan penempatan sementara saya dipenuhi dengan penjual kambing dan qibash. Arab kampung Mesir (mereka yang tinggal berhampiran padang pasir) akan membawa ternakan mereka ke bandar dan menjualnya di tepi jalan secara live.


Kambing atau qibash akan ditarik ke dalam jeep atau ditarik sendiri ke rumah untuk di 'hambat' sebelum hari raya tiba.

Saya sendiri pernah melihat seorang wanita arab menarik seorang diri qibash yang agak besar untuk dibawa pulang!

Bagi kami mahasiswa di bumi ambiya' ini, hari raya kami sudah diatur oleh Badan Kebajikan Anak Negeri masing-masing. Bagi saya yang lahir di Selangor (walaupun darah Pahang dan Negeri Sembilan mengalir dalam badan), hari raya kami diatur oleh Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM).

Saya bersama 'ahl bait' (teman serumah) solat bersama orang arab Mesir di Masjid Nuri Khottob, Hayy El-Sabek, Madinah Nasr, Kaherah. Manakala kebanyakan orang Malaysia akan solat sesama mereka selepas orang tempatan menunaikan solat hari raya.

Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) telah mengadakan solat hari raya anjuran mereka di masjid yang sama kami ahli bait bersolat.

Saya mengambil kesempatan untuk bersama-sama orang Melayu untuk bertakbir raya di sana. Bermula sahaja takbir, air mata mula berlinangan tanpa sebab. Saya tidak menagis, tetapi saya terlalu terasa apabila beraya di perantauan tanpa keluarga diiringi takbir yang sungguh mengusik jiwa.

Atas sebab itu, sepanjang tempoh takbir di sini, saya tidak gemar berimamkan orang Melayu kerana akan timbul perasaan sedih. Ini berbeza dengan takbir yang dilaungkan oleh orang tempatan yang lebih bersemangat persis menangnya sepasukan mujahid di medan jihad.


Kami ahli BKASM menjalankan aktiviti korban dan lapah di Dataran Rumah Selangor, Hayy 'Ashir pada hari raya ke-2.
Sebanyak seekor unta dan 12 ekor kambing dan qibash disembelih pada hari tersebut. Manakala majlis jamuan diadakan pada malamnya.



Bagi saya, raya di perantauan adalah sesuatu yang istimewa. Ketika saya berada beribu batu dari keluarga saya mampu melaksanakan segala perkara dengan sempurna.

BKASM persatuan terbesar bagi pelajar-pelajar Selangor di Mesir bijak mengatur aktiviti agar pelajar tidak begitu terasa akan raya diperantauan.

Mereka mengajurkan program Balik Kampung (Balik Rumah Walidain) di mana pelajar junior akan pergi kerumah senior untuk beraya. Mereka akan dibahagikan mengikut IC (Islamic Circle: Istilah bagi Usrah. Gelaran Usrah tidak digunakan bagi mengelak mahasiswa dituduh menyertai parti Ikhwan Muslimin) dan tidur semalam di rumah abang-abang (bagi ikhwah atau lelaki).

Kami akan hiasai malam dengan qiam bersama dan mengadakan taaruf bagi mengeratkan lagi ukhwah diantara kami.

Saya harap kerinduan terhadap mereka keluarga saya di Malaysia dan Indonesia menambahkan azam saya untuk menuntut ilmu sebaik mungkin sebelum pulang menyahut seruan Rasulullah SAW untuk berdakwah dan menjadi daie' di jalan Allah SWT, Insya Allah.

Tiada kata-kata indah dari saya dan kalian melainkan doa yang kita sama-sama panjatkan ke hadrat Allah SWT. Semoga ia menjadi mengikat cinta yang kuat bagi kami, Insya Allah.

Nota Cinta dari saya,

Kaherah, Mesir.
02 Desember 2010
10.27 am

p/s: Gambar tambahan sepanjang raya di Mesir;




Read full post »

Tuesday, November 30, 2010

JAULAH MAQAM ULAMA & AULIYA' DI KAHERAH

0 pandangan cinta
Alhamdulillah, sebentar tadi saya baru menamatkan satu ziarah yang amat memberi kesan terhadap diri saya khususnya dan semua ahli jaulah amnya.

Sebagai seorang penuntut ilmu di 'ardul kinanah', Mesir melawat makam-makam para ulama' dan auliya' sememangnya sesuatu perkara yang harus dilakukan oleh setiap penuntut. Kerana ilmu yang kami (penuntut) belajar telah ditulis, dikaji, dipelajari dan diajar oleh mereka-mereka yang secara istilahnya pewaris para nabi (Insya Allah).

Melawat makam mereka bukanlah sesuatu yang salah di sisi agama jika cara dan kelakuanya berlandaskan syariat.

Jaulah kali ini dianjurkan oleh Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM). Disertai seramai 60 mahasiswa Mesir dari pelbagai negeri terutama dari Negeri Selangor.

Kami dipimpin oleh 2 orang ustaz (sebagai mushrif) yang juga telah menuntut di Yamen.

Saya tidak ingin mengulas mengenai hukum jaulah maqam secara detail, namun saya ingin berkongsi dengan orang yang saya cintai sekalian supaya kalian yang masih menuntut di Malaysia ada semangat untuk menuntut ilmu dan belajar lebih jauh di negeri orang dan mahasiswa di luar negara lebih bersemangat untuk menuntut di negara orang, Insya Allah.

Antara gambar yang saya ingin kongsikan ialah:

1) Kubu ketika zaman pemerintahan Salahuddin Al Ayubi. Di dalamnya menempatkan kota Kaherah lama (kota pemerintahan Salahuddin Al Ayubi) dan kubu ini juga tidak jauh dengan Masjid Al Azhar.



2) Maqam Muhammad Bin Sirrin. Mengikut riwayat beliau pentafsir mimpi ketika zaman Nabi Yusof AS.


3) Maqam Imam Syafie Rahmatullahi 'alaih. Tiang putih tersebut merupakan tiang yang menjadi tempat untuk beliau sampaikan ilmu. Manakala kubah pada makam (Gambar 2) ini yang berbentuk kapal melambangkan ilmu Imam Syafie luas seperti lautan.


4) Abu Zar Al Ghoffari RA, Sahabat Rasulullah SAW yang banyak meriwayatkan hadis.


5) Ummu Kalsum, cicit Rasulullah SAW.


6) Uqbah Bin Amr RA, juga sahabat Rasulullah SAW yang banyak meriwayatkan hadis.


7) As Syahid (Insya Allah) Imam Hassan Al Banna. Pengasas Ikhwan Muslimin.



8) Imam Ahmad Bin 'Attaillah (Ibn 'Attaillah Al Skandari), penulis kitab al Hikam.



9) Melihat matahari terbenam selepas majlis penutup jaulah maqam.



Sebebenarnya lebih kurang 20 makam yang kami ziarahi. Namun saya hanya ingin menunjukkan perkara-perkara yang umum diketahui oleh orang awam.

Jika saya ingin menuliskan sejarah tiap-tiap bagi mereka bukanlah sesuatu yang saya mampu setakat ini. Kerana saya lebih suka jika ilmu yang saya sampaikan berdasarkan kitab (dalil) dan bukan ilmu yang dengar-dengar (taqlid). Jika ada kesempatan dan terjumpa sejarah mereka, Insya Allah saya akan menulis mengenai mereka pada masa akan datang.

Semoga ilmu kita diberkati oleh Allah SWT sepertimana Allah SWT memberkati ilmu mereka para ulama' dan auliya', Insya Allah.

Barokallah.

Gambar cinta dari saya

Kaherah, Mesir
10.00 pm 30 November 2010

p/s: Di bawah merupakan gambar tambahan untuk tatapan pembaca sekalian, Insya Allah. Kamera: Nokia N70






Read full post »

Sunday, November 28, 2010

ANDA ADALAH APA YANG ANDA BACA

2 pandangan cinta
Sinar Harian: Remaja bawah umur ditahan

SHAH ALAM – Remaja bawah umur: antara sembilan yang ditahan dalam dua serbuan premis mesin judi di Petaling Jaya, jam 3.30 petang kelmarin.
Serbuan dijalankan oleh Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.
Ketika serbuan diketuai Superintenden Maszely Minhad itu dibuat, tujuh individu sedang leka bermain judi dan tidak menyedari kehadiran polis.
“Kita ambil keterangan daripada semua pelanggan yang berusia antara 23 dan 58 tahun untuk membantu siasatan.
“Kita tahan dua penjaga premis, seorang lelaki berusia 30 tahun dan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau berkata, polis juga merampas 74 komputer yang diubahsuai menjadi mesin judi dan wang RM1,200.
“Siasatan menunjukkan premis itu menyediakan makanan ringan serta minuman untuk menarik pelanggan,” katanya.
Maszely berkata, pemeriksaan menunjukkan premis yang dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) itu pernah diserbu dua kali sebelum ini, namun pengusaha premis itu masih belum serik.
Dalam perkembangan lain, sebuah premis hiburan di Jalan Doraisamy yang menjadi pusat remaja bawah umur bersuka ria, diserbu polis dalam satu operasi awal pagi semalam.
Ketika diserbu oleh sepasukan anggota dan pegawai daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada jam 2.30 pagi, 76 pengunjung sedang asyik berhibur bersama pasangan masing-masing.
Difahamkan, hasil pemeriksaan mendapati, seramai 52 daripada pengunjung premis adalah remaja bawah umur, yang berpakaian menjolok mata.
Ujian saringan awal air kencing yang dibuat mendapati seorang lelaki berusia 29 tahun positif dadah.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zulkarnain Abdul Rahman berkata, pihaknya turut menahan dua penyelia premis itu kerana membenarkan remaja bawah umur memasuki premis mereka.
“Semua yang diperiksa dibawa ke IPD Dang Wangi untuk tindakan lanjut,” katanya.


BILA IKLAN JUDI BERLELUASA

Umum mengetahui, akhbar Harian Metro adalah akhbar yang mempunyai bilangan pembaca yang begitu ramai iaitu sebanyak 338 552 naskah pada tahun 2009. Kiraan ini telah disahkan oleh Audit Bureau Of Circulation (ABC) pada akhir tahun lepas.

Ciri-ciri yang ada pada Harian Metro telah mengalahkan berberapa lagi akhbar utama Bahasa Melayu seperti Utusan Malaysia dan Berita Harian.

Dan ketika saya berada di Malaysia, saya diantara golongan yang tidak suka membeli Harian Metro. Walaupun ramai dikalangan sahabat-sahabat saya ketagih membaca Harian Metro.
Mengapa ini berlaku?

Pada pendapat saya, ada berberapa sebab utama yang meningkatkan jualan Harian Metro.
Antaranya disebabkan saiznya yang kecil dan mudah dibaca. Ini dibuktikan apabila akhbar New Strait Times dan Berita Harian merubah saiz besar mereka kepada saiz tabloid hanya untuk meningkatkan jualan.
Dan sebab ke-2, tajuk muka depan Harian Metro yang 'terlalu menarik' sehinggakan sesiapa yang membaca tajuk hadapan pasti ingin membaca apa isinya.
Dan sebab ke-3, akhbar ini dilanggan oleh kaki judi yang sentiasa ambil berat mengenai bilangan nombor dalam Harian Metro.
Dan atas sebab ke-3 inilah maka anda tidak perlu hairan mengapa 'Remaja bawah umur ditahan berjudi' kerana anda adalah apa yang anda baca.


FIKIRAN YANG DIKOTORI SEJAK KECIL

Saya pernah berborak sengan seorang pakcik yang amat menjaga akhlak anak-anaknya. Antara kata-kata memberi kesan terhadap saya dari pakcik tersebut ialah;
"Pakcik memang tidak akan membeli Metro (baca: Harian Metro) bawak balik rumah. Rosak perangai anak-anak pakcik nanti. Depan cerita 'rogol', politik cerita bab 'rasuah', mahakamah cerita bab 'cerai', artis cerita pasal 'hubungan intim', sukan cerita pasal 'pemain mabuk' dan mesti ada keputusan judi kat belakang. Kalau pakcik nampak kat rumah, cepat-cepat pakcik buang dan bakar".
Dan saya akui, ketika melawat rumah pakcik tersebut, memang tidak nampak walaupun
secebis akhbar Harian Metro. Yang ada hanyalah Sinar Harian, Harakah dan begitu banyak majalah dan buku islamic.

Pendidikan yang dibawa oleh pakcik tersebut memang berkesan. Anak-anak beliau bukanlah golongan yang buta info terkini. Anak-anak beliau lebih mendapat info daripada majalah dan akhbar Sinar Harian.

Berbanding dengan berberapa kawan saya yang ketagih Harian Metro, minda mereka bukan dihiasi oleh info-info terkini tetapi kotor dengan berita-berita fitnah dan info dusta oleh akhbar tersebut.


CUKUPLAH RALAT YANG SABAN HARI BERLAKU

Dan mengikut statistik seperti sumber yang saya beri di atas, akhbar fitnah nombor 1 Malaysia (baca: Utusan Malaysia dan Berita Harian) telah mengalami penurunan jualan yang amat ketara. Berbanding dengan berberapa akhbar yang menggunakan konsep hiburan (baca: Harian Metro dan Kosmo!).

Saya menyimpulkan bahawa, antara sebab kurangnya pembaca dikalangan akhbar-akhbar fitnah tersebut adalah kerana berita yang disiarkan seringkali diakhirkani oleh "RALAT: Petikan Utusan Malaysia yang menyatakan N** A*** menipu hanyalah gosip-sosip semata-mata", pada keesokan hari. Berita fitnah tersebut besar dimuka depan, namun ralat hanyalah kecil tidak ubah seperti minda pengarang berita.

Mungkin rakyat sudah muak dengan berita fitnah yang disebarkan mereka, walaupun masih ada sebilangan besar yang masih ketagih berita palsu hasil suruhan pemimpin yang tidak amalkan didikan Islam.

Sudah-sudahlah pembaca akhbar Utusan dan Berita Harian sekalian. Adakah anda sanggup membiarkan diri anda dibodohkan oleh akhbar tersebut. Ubah bacaan anda kepada akhbar yang lebih boleh dipercayai seperti Sinar Harian dan The Sun.

Jangan Utusan dan Berita Harian menyiarkan tajuk lucah di muka hadapan untuk merarik pembeli sudahlah.


AKHBAR ONLINE

Sudah saya menyatakan dalam satu posting yang terdahulu, ketika saya di perantauan semua berita dari Malaysia cukup penting bari saya. Dan saya sering mendapatkan khabar dari Malaysia hanya dengan akhbar online. Sebab tiada siapa yang sanggup hantar akhbar tiap-tiap hari ke sini.

Saya akui lebih mudah dengan akhbar online. Saya akan membuka berberapa windows bagi Google Chrome dan baca sebanyaknya khabar dari Malaysia. Antara laman yang sering dibuka adalah TranungKite, Sinar Harian, Malaysiakini, Mawi FC (forum yang menyiarkan Harian Metro setiap hari tanpa iklan) dan HarakahDaily. Dengan laman Facebook juga saya boleh mendapatkan berita secara pantas.

Berberapa kelebihan apabila kita menggunakan akhbar online.
PERTAMA: Kita membantu mengurangkan kos pemprosesan kertas dan sudah tentu mengurangkan kos pembelian akhbar.
KEDUA: Tidak mencemarkan alam sekitar.
KETIGA: Boleh menilai berita yang sahih dengan lebih mudah.
KEEMPAT: Mengurangkan masa membaca akhbar. Akbar online kita hanya membuka berita yang menfaat sedangkan akhbar live kita perlu membuka tiap-tiap muka.
KELIMA: Otak tidak dikotori dengan iklan judi.
Mengapa tidak selepas ini anda menukar bacaan kepada akhbar online. Lebih banyak menfaat bukan?


MEMBACA JADIKAN IBADAH

Wahai para pembaca blog saya yang saya cintai sekalian, mengapa anda semua tidak menukarkan bahan bacaan anda. Pupuk minat anda untuk membaca bahan artikel islamic dan bermenfaat. Tidak perlu membaca mengenai artis. Dan jika sesiapa diantara anda yang rasa berita mengenai artis penting untuk anda, maka tolong senaraikan apa pentingnya. Tolong senaraikan apa pentingnya menonton drama dan filem, melihat iklan judi, membaca berita fitnah dan seumpamanya.

Saya bukanlah seorang yang berfikiran kolot yang menolak 100% perkara tersebut, namun saya mahu orang yang saya cintai sekalian berfikir adakah kita layak menghuni syurga Allah SWT? Sudah cukupkah amalan kita? Bagaimanakah persediaan kita menghadapi mati dan masyar? Adalah kita hamba yang deredhai Allah SWT?

Islam tidak menolak hiburan, namun hiburan yang berlandaskan syariat itu lebih baik. Adakah anda tidak terhibur dengan membca majalah islamic? Adakah anda tidak terhibur ketika belajar berenang? Adakah lebih baik melihat cerita noda yang dilakukan artis berbanding sejarah sahabat dan sirah pada ambiya'?

Sufyan Bin Unainah pernah ditanya oleh seorang lelaki: "Adakah gurau senda sesuatu yang dilarang?".
"Tidak, bahkan ianya sunnah! Tetapi untuk mereka yang tahu menjaga dan meletakkanya di tempat yang sepatutnya", jawab Sufyan.

Juga ketika Ibn Umar ditanya "Adakah sahabat-sahabat nabi ketawa?". "Ya!", kata Umar dan jawabnya lagi "iman mereka setinggi gunung".

Dan banyak gurauan yang dilakukan oleh junjungan Muhammad SAW jika anda mahu saya senaraikan. Islam tidak pernah menolak hiburan namun bagaimana hiburan itu berlaku dan adakah ia tidak melanggar syariat.
Saya memetik kata-kata seorang sahabat;
"Janganlah anda tenang melainkan segala urusan anda adalah ibadah".
Maka berhiburlah sebanyaknya selagi anda merasa ia ibadah. Selagi kita tidak melanggar perintah Allah SWT dalam surah Al Zariat yang bermaksud;
"Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah (taat) dan beribadat kepadaku".
[QS Al Zariat 51 : 56]


SAYA AKAN TUKAR BACAAN SAYA

Saya ingin menyeru kepada pembaca sekalian, mengapa kita semua tidak menukar bahan bacaan kita. Dari sesuatu yang tidak menfaat kepada perkara yang menjerumus kepada ibadah. Mononton perkara-perkara yang meningkatkan daya fikir. Dan menulis perkara-perkara kearah dakwah.

Kita dijadikan hanyalah untuk patuh dan melakukan ibadah kepada Allah SWT. Buatlah apa-apa sahaja di dunia mahupun menonton TV, membaca akhbar, melayari internet selagi kita patuh dan melalukan ibadah kepada-Nya.

Dan untuk patuh dan melakukan perkara hanya kerana-Nya dapat dilakukan jika kita menuntut ilmu, banyakkan membaca al-Quran, hadis juga menghadiri majlis-najlis ilmu.
Mengapa tidak selepas anda membaca artikel saya kita akan berubah, Insya Allah.

Jom nasihat-menasihat di alam maya kerana Allah SWT.

Nota cinta dari

Kaherah, Mesir
9.21 pm 28 November 2010

p/s: Saya sedang mencari rahsia istiqomah. Saya mahu istiqomah dalam banyak perkara. Saya menulis sebagai medium untuk saya ubah diri saya sendiri. Maka saya suka akhirkan posting saya dengan "Jom nasihat-menasihat".
Read full post »
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Copyright © NOTA CINTA Design by Muhammad Salman al Farisi | Blogger Theme by Al Irani Muhammad | Powered by Blogger