Semalam, ketika saya sedang menunaikan solat fardhu berjamaah di surau berdekatan dengan apartmen kami, saya terdengar jeritan seorang makcik seperti sesuatu yang bahaya berlaku di sekitar jalan apartmen kami. Dan solat kami berhenti di situ.
Imam surau kami terus membatalkan solatnya, mengambil kayu di bilik imam dan terus meluru keluar di jalanan. Diikuti dengan warga Mesir yang lain.
Kisahnya; sekumpulan pemuda yang tidak dikenali membuat onar di tengah jalan apartmen kami. Mereka merosakkan kenderaan dan pelbagai lagi yang mereka lakukan dan objektifnya, tidak saya ketahui.
Hasilnya, JKK (Jawatankuasa Keselamatan Kampung; istilah yang saya beri kepada sekumpulan jiran yang sering meronda di tengah malam, menjaga keselamatan jalan utama apartmen kami) keluar membawa segala senjata termasuk besi, parang, pisau dan kayu memukul sekumpulan pemuda yang membuat onar tadi. Diantara mereka yang termasuk dalam kumpulan JKK tadi adalah imam surau berdekatan dengan apartmen kami.
Pergaduhan berlarutan sehingga hampir maghrib. Dan saya tidak tahu apakah penghujungnya.
PENGALAMAN SAYA DENGAN JKK KETIKA REVOLUSI 25 JAN
Masih bermain di minda saya, ketika ke kedai runcit lewat petang, saya terkejut kerana orang tempatan semuanya sudah keluar membawa senjata masing-masing. Menjaga penjuru jalan apartmen.
Kedai-kedai dipenuhi orang yang membeli bekalan makanan seolah-olah kedai akan ditutup dalam tempoh masa yang lama. Seakan-akan, tiada lagi hari esok untuk membeli bekalan makanan.
Setelah maghrib, kami sudah tidak dibenarkan untuk keluar dari kawasan apartmen, iaitu Rumah Sementara Pelajar Selangor di Mesir, yang terletak di kawasan Hayyu Sabe', Nasr City. Sehinggalah perintah darurat dan berkurung dikeluarkan oleh Angatan Tentera Mesir. Hasilnya, revolusi 25 Januari berlaku dimana pemerintahan kuku besi Hosni Mubarak tumbang di tangan rakyat.
Yang ingin dinyatakan di sini, kebersamaan penduduk tempatan menjaga keselamatan penduduk, dan kebersamaan mereka juga dalam membentuk revolusi. Hanya kerana terlalu cinta kepada negara.
KISAH RAKYAT MALAYSIA
Saya tidak mahu menghukum semua rakyat Malaysia terhadap tindakan segelintir mereka yang tidak mempunyai cinta terhadap negara.
Baru-baru ini, melalui Twitter, saya bertanya kepada Timbalan Presiden Malaysian Youth Humanitarian Club mengenai apa yang dilakukan oleh polis (baca: kerajaan) terhadap pendemo Bersih 3.0. Adakah tindakan mereka masih dalam ruang lingkup kemanusiaan?
Jawab beliau; "Selagi tidak seteruk di Libya dan Mesir, saya ok!"
Bagi saya, perjuangan rakyat untuk menuntut pilihanraya yang bersih dan adil adalah tanda mereka cinta terhadap negara. Cinta terhadap Malaysia.
Mereka hanya mahukan pemimpin yang benar-benar pilihan rakyat.
Saya merasakan rakyat Malaysia belum cukup tertekan dengan apa yang dilakukan oleh pimpinan kerajaan. Walaupun pada dasarnya, korupsi dikalangan pemimpin kerajaan Malaysia pada kedudukan yang membimbangkan.
Mengikut lamanweb wikipedia pada link http://en.wikipedia.org/wiki/Corruption_Perceptions_Index index rasuah Malaysia semakin teruk pertahun pada kedudukan 61 negara yang mempunyai rasuah yang terbersih.
Rakyat Malaysia masih enak dibuai mimpi, boleh berjuang atas nama kepartian, tidak akan dipenjara kerana memperjuangkan kebebasan, masih boleh makan yang enak-enak, tidak perlu menyorok untuk melaksanakan dakwah dan tarbiah, tidak perlu hipokrik untuk memperjuangkan sesuatu, dan rakyat Malaysia benar-benar ada dalam kaadaan yang 'terlena'.
Namun, takkan mahu tunggu Malaysia menjadi seperti Libya dan Mesir baru nak berubah?
Saya masih kaku, memikirkan tahap kecintaan rakyat Malaysia kepada negara.
CINTA NEGARA IMPIAN SAYA
Saya ikhlas menyatakan, saya berasa bangga ketika mendengar lagu 1 Malaysia, sebuah gagasan yang dibawa oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Najib Bin Abdul Razak. Saya bersemangat ketika menyanyikan lagu Negaraku.
Saya berasa seronok membaca kisah kemerdekaan Malaysia walaupun ianya hanya kisah palsu yang direka untuk menafikan pejuang kemerdekaan yang sebenar. Maka saya akan baca dengan cara pemahaman saya sendiri.
Bagi saya, cinta kepada negara perlu dipupuk dari sekarang sebelum adanya cinta kepada khalifah Islamiah yang sebenar. Akan tiba saatnya khalifah, samaada ketika itu saya sudah ada anak, atau cucu, atau saya tidak sempat kerana sudah meninggal dunia.
Memandang kereta Proton buatan Malaysia menyusuri jalan-jalan di Mesir juga kebanggaan saya. "Orang Malaysia? Sebaik-baik manusia" tema yang diucap oleh orang Mesir saban waktu juga adalah kebangaan saya.
Bendera, kaadaan, keamanan, kehidupan, tempat pelancongan dan setiap sesuatu yang ada di Malaysia adalah kebanggaan saya, dan saya cintainya. Namun, semuanya lenyap andai pemimpin Malaysia terus dalam keasyikan dan keseronokan sebagai pemerintah.
Solusinya; tegur pemerintah, atau tukar pemerintah, sebelum tibanya Khilafah, selagi ia atas landasan syariat.
Wallahu 'alam.
0 pandangan cinta:
Post a Comment