Followers

Wednesday, April 20, 2011

KASIH SEJARAK 2 JARI


Mahasiswa Malaysia di Kaherah, Mesir mashur jika ditanya di mana mereka tinggal, mereka akan menjawab sama ada Seksyen Tujuh (baca: Hayyu Sabi’) ataupun Seksyen Sepuluh (baca: Hayyu ‘Ashir). Dan diantara mereka, sedikit sekali akan tinggal di Robaah, Abbas Aqod, Abbasiah dan berberapa lagi tempat di sekitar Nasr City.

Bagi mahasiswa Malaysia, jika dari kuliah Al Azhar yang terletak di Hussein kebanyakan mereka akan menaiki bas Lapan Puluh Palang untuk ke Seksyen Sepuluh manakala bas Dua Puluh Empat Jim untuk ke Seksyen Tujuh. Manakala bagi kami yang kuliah di Maahad Buuth Al Azhar, Abbasiah lebih mudah menaiki bas Sembilan Dua Enam untuk perjalanan pergi dan pulang ke kuliah. Bas ini akan ke Seksyen Sepuluh melalui Seksyen Tujuh. Bagi pelajar Malaysia, di Mesirlah mereka akan mengalami pengalaman ‘bas lompat’ kerana menjadi kelaziman bagi pemandu untuk tidak berhenti dengan sempurna samaada untuk menurunkan penumpang atau menerima penumpang.


SATU, DUA, TIGA, EMPAT, ARIS ARIWATAN

Pernah ketika saya pulang dari kuliah, MP3 saya terpasang akan sebuah lagu nasihat yang didendangkan oleh seorang penyanyi ‘old school’, tetapi tetap ‘ever green’. Lagu tersebut membuatkan saya duduk sebentar di tepi jalan menghayati bibit-bibit syair yang didendangkan duet Aris bersama seorang anak lelaki yang tidak saya kenali.

“Satu, kasih nan abadi, tiada tandingi, Dia yang Satu. Dua, sayang berpanjangan, membawa kesyurga, kasihnya ibu. Tiga, lapar dan dahaga, rela berpayahan, setianya ayah. Empat, mudah kau ketemu, berhati selalu, beza antara kasih dan kekasih.”


CINTA YANG DIBUTAKAN

Saya pernah berbincang dengan sahabat-sahabat tentang cinta. Kenapa agaknya remaja sekarang mendambakan cinta selain dari Yang Maha sepatutnya mereka cinta. Diikuti dengan cinta kepada Rasulullah SAW dan keluarga?

Ramai yang memberikan pandangan masing-masing namun pandangan saya agak lain dari yang lain. Saya merasakan mereka yang mendambakan cinta kepada yang tidak sepatutnya mereka cinta ini sebenarnya jauh dari ibu ayah. Ya, bagi remaja lelaki yang ingin mendapatkan belaian seorang perempuan disaat Allah SWT terapkan sifat fitrah lelaki kepadanya jika dia tidak boleh dapatkanya di rumah atau secara tepatnya belaian seorang ibu, maka dia dengan sendiri akan mencari perempuan lain yang boleh memberikan belaian kepada dirinya atau secara tepatnya teman wanita.

Begitu juga dengan remaja perempuan. Ketika sifat fitrah seorang wanita yang mengharapkan seseorang lelaki sebagai pebimbing dan orang yang mengambil berat dimana perkara tersebut dia tidak boleh dapatkan dirumah bersama ayahnya, dengan mudah dia akan mencari lelaki lain sebagai tempat dia bernaung.

Firman Allah SWT dalam Kitabnya yang bermaksud;
“Sembahlah Allah dan janganlah kamu mepersekutukan-Nya dengan sesuatu apapun. Dan berbuat baiklah kepada kedua orang ibu ayah, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, tetangga yang dekat dan tetangga yang jauh, seman sejawat serta ibn sabil.” [QS An Nisa’ : 36]

Cinta ini yang sebenarnya dibutakan. Cinta sesama keluarga, ibu, ayah dan saudara bukan cinta yang rabun lagi buta kepada orang yang tidak sepatutnya ketika masa belum mengizinkan. Mari kita muhasabah, adakah kita rapat dengan keluarga atau tidak sehinggakan kita mengharapkan cinta di luar lingkungan keluarga?


AMAL PEMUTUS TALI CINTA

Pada suatu hari Abu Hurairah RA mengadakan majlis pada hari Khamis malam Jumaat. Pada awal majlis beliau memberi ucapan dengan berkata; “Saya berharap kepada setiap orang yang memutuskan hubungan kekeluargaan hendaklah pergi dari kami.”

Tiada seorangpun bangun sehinggakan beliau mengatakan perkataan sama sebanyak tiga kali. Lalu bangun seorang pemuda datang menemui pakciknya yang dia tidak jumpa selama dua tahun. Terus pakciknya berkata; “Wahai anak saudaraku, apa yang menyebabkan engkau datang?”

Pemuda tersebut menjawab; “Aku mendengar Abu Hurairah RA berkata; “Begini dan begitu (merujuk pada apa yang diperkatakan oleh Abu Hurairah RA tadi).”

Pakcik kepada pemuda tersebut terus menjawab; “Kembalilah kepadanya dan bertanyalah padanya; mengapa dia mengatakan demikian?”

Pemuda tersebut terus berjumpa dengan Abu Hurairah RA dan bertanya seperti yang disuruh oleh pakciknya tadi. Terus Abu Hurairah berkata; “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda; “Sesungguhnya amal manusia disampaikan kepada Allah SWT ketika petang Khamis malam Jumaat, maka amal orang yang memutuskan hubungan kekeluargaan tidak diterima” [HR Bukhari dan Ahmad]


ADAB-ADAB CINTA

Kenapa harus kita mencari cinta yang jauh sedangkan cinta sejarak dua jari sudah tersedia. Tinggal kita hiasi cinta tersebut dengan adab-adab yang diajarkan oleh Islam. Seperti kata pepatah; “Kuman di sebarang lautan nampak, gajah di depan mata tidak nampak,” maka ayat yang sesuai bagi mereka yang mencari ‘cinta luar’ bukan pada masanya ini saya simpulkan seperti; “Kekasih di seberang benua yang dicari, kekasih di rumah di sia-siakan.”

Antara rahsia dalam kita dalam menjalin cinta ialah;

PERTAMA: IKHLASKAN KERANA ALLAH SWT
Erm, sudah pasti setiap yang kita lakukan itu pada asasnya niat. Alahai, kalau cinta sesama keluarga yang dijalin sehebat manapun tetapi ada sesuatu perkara sampingan yang dihasratkan jawapanya cinta tersebut kosong. Seperti kisah seorang sahabat Rasulullah SAW yang ikut bersama hijrah Rasulullah SAW ke Madinah, tetapi sebenarnya beliau berhijrah bukan kerana menyahut suruhan Allah SWT tetapi kerana ingin menikah seorang gadis. Maka apa yang beliau dapat hanyalah keuntungan dari penikahan tersebut bukan ganjaran berhijrah bersama Rasulullah SAW. Sia-siakan amalan kalau tidak ikhlas?

KEDUA: LUPAKAN KISAH PUTUS CINTA MASA LALU
Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula keluarga. Saya teringat kisah dimana wujud persengketaan diantara keluarga hanya kerana saudaranya tidak sefahaman politik denganya. Sedih bila seorang adik tidak mahu memakan masakan kakaknya hanya kerana kakaknya berfahaman UMNO. Suci sangatkah kita sehinggakan tidak mahu makan makanan yang dimasak oleh saudara sendiri walaupun bukan sealiran fahaman. Sedarkah kita Rasulullah SAW sendiri pernah memakan masakan yang dimasak Yahudi.

Sayang, bukan masanya kini untuk kita ungkit kisah lalu. Mari kita bina semula cinta yang kita bina sejak dari lahir. Keluar dari rahim yang sama mengapa tidak kita lupakan kisah lama terus bersama-sama bina cinta yang baru.

Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud;
“Tidak dihalalkan bagi seorang Muslim memutuskan persaudaraan dengan saudaranya lebih dari tiga malam. Mereka berdua bertemu, dipalingkan dari saudaranya dan saudaranya memalingkan dia. Sebaik-baik diantara kedua-duanya ialah mereka yang memulakan salam.” [HR Bukhari dan Muslim]

Juga sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Jabir bin Mat’am RA, Rasulullah SAW telah bersabda;
“Tidak masuk syurga mereka yang memutuskan silaturrahim.” [HR Bukhari dan Muslim]

KETIGA: YANG JAUH KITA DEKATKAN, YANG DEKAT KITA RAPATKAN
Kita satu keluarga, kita melindungi keluarga kita, kita menjaga keluarga kita. Bukan bermakna kita memiliki sifat perkauman atau Bahasa Arabnya ‘asobiyah’ yang kuat. Tapi itu yang diajar oleh Rasulullah SAW.

Dalam satu hadis yang panjang, ketika Rasulullah SAW menyeru pada kaumnya di Makkah supaya selamatkan diri mereka dari api neraka (dengan beriman), baginda menyeru kaumnya dengan menyebut satu-satu nama kaumnya yang ada di Makkah. Terus diakhir seruan itu Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud;
“Maka sesungguhnya aku tidak memiliki sesuatu apapun daripada Allah SWT kecualilah bagiku terhadap kamu kaitan kekeluargaan, aku akan memperkukuhkanya dengan persaudaraan kamu.” [HR Muslim]

Tidaklah orang yang pertama beriman dari Rasulullah SAW melainkan isterinya sendiri Khadijah RA. Allah SWT juga pernah berfirman yang bermaksud;
“Dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu yang terdekat.” [QS As Syura’ : 214]

Cinta yang saya mahu kita pupuk ini bukanya cinta palsu dan bukan juga cinta yang membuatkan kita gila persis Hikayat Laila Majnun. Cinta ini yang saya ingin terapkan agar kita punya cinta sesama keluarga.

KEEMPAT: HADIAH KEPADA KELUARGA CINTA YANG UTAMA
Pupuk dalam diri kita agar sentiasa memberi hadiah. Memberi hadiah kepada keluarga sendiri. Dan tidak tertakluk dengan apa-apa hari khusus seperti hari ibu, hari bapa mahupun hari datuk atau hari nenek. Cinta kita bukan tertakluk pada hari. Ketika kita melewati sebuah kedai, teringat akan keluarga maka berhenti seketika belilah sesuatu kepada keluarga kita.

Ataupun kita cari apa yang paling kita sayang lalu diberi kepada keluarga kita. Mari kita menyahut firman Allah SWT dalam al Quran yang bermaksud;
“Kamu tidak akan memperoleh kebaikan, sebelum kamu menginfakkan (memberi) sebahagian harta yang kamu cintai.” [QS Ali Imran : 92]

Setelah turunya ayat tersebut, seorang sahabat Rasulullah SAW iaitu Abu Talhah yang paling banyak hartanya di Madinah terus berjumpa Rasulullah SAW sambil berkata; “Wahai Rasulullah SAW, Allah SWT telah berfirman dalam al Quran (sambil membaca Surah Ali Imran ayat 92) dan harta yang paling aku sayangi ialah di Biraha (kebun kepunyaan Abu Talhah. Kebun tersebut berhadapan dengan masjid dan Rasulullah SAW sentiasa memasukinya untuk meminum air di dalamnya). Ia merupakan sedekah di jalan Allah SWT dan aku mengharap berbuat baik dan disimpan di sisi Allah SWT. Maka letaklah di mana sahaja yang kamu kehendaki.”
Baginda bersabda yang bermaksud;
“Beruntunglah, ini harta yang beruntung, ini harta yang beruntung. Aku tengah mendengar apa yang kamu katakan, aku berpendapat bahawa harta tersebut untuk kaum keluarga.”
Terus Abu Talhah berkata;
“Lakukanlah wahai Rasulullah SAW!”
Maka Abu Talhah telah membahagikan kepada kaum kerabatnya dan sepupunya. [HR Bukhari dan Muslim]

KELIMA: DIBERI KITA NAJIS, HADIAHKAN MEREKA BUNGA
Kita perlu tahu, bukan semua orang seperti kita. Allah SAW telah menciptakan berjuta-juta manusia dan sudah pastinya mempunyai berjuta-juta perangai yang tersendiri. Dan bukan semua manusia sempurna seperti yang kita fikirkan.

Cuma apa yang kita perlu lakukan sekarang ialah buat apa yang kita harapkan orang buat kepada kita. Bukanya tidak ikhlas, cuma dengan itu kita dapat mendidik orang akan sesuatu akhlak yang baik. Sebuah pepatah arab yang bermaksud;
“Contoh melalui perbuatan adalah lebih baik dari percakapan.”

Seorang ahli hikmah pernah bermadah;
“Jangan fikir perkara yang orang beri kepada kita, tetapi fikirlah apa yang kita beri kepada orang.”


IKATAN KASIH SEJARAK DUA JARI

Dicincang air tidak akan putus, dicubit peha kanan, peha kiri terasa jua. Ramai diantara remaja sekarang rela dicium oleh orang lain dari dicium oleh ibu bapa mahupun adik berdaik. Rela memegang tangan orang yang diharamkan kepadanya dari memegang tangan orang yang halal kepadanya. Rela ambil tahu mengenai orang lain berbanding mengambil tahu hal ibu bapa mereka. Pelik!

Sedangkan keluargalah yang patut mereka cinta. Cincanglah bagaimanapun, mereka tetap keluarga dan pastinya sedarah. Cubitlah dimanapun mahupun di peha, di perut, di belakang, di punggung ataupun di muka sekalipun, pasti tubuh lain merasa sakit dan air mata pasti boleh mengalir.

Itulah kasih sejarak dua jari kita. Jom kita iltizam. Selepas ini kita pasti mencintai keluarga kita lebih. Lebih dan lebih dari yang lebih selepas cinta kita kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW. Jom muhasabah.


ARIS ARIWATAN - SATU, DUA, TIGA, EMPAT



Satu, kasih nan abadi, tiada tandingi, Dia yang Satu.
Dua, sayang berpanjangan, membawa kesyurga, kasihnya ibu.
Tiga, lapar dan dahaga, rela berpayahan, setianya ayah.
Empat, mudah kau ketemu, berhati selalu, beza antara kasih dan kekasih.

Ibu, ku ingat dahulu,
menyisir rambutku, kemas selalu.
Ayah, menghantar kesekolah,
bergunalah ilmu, bila dewasa.

Sayang, dengar lagu ini,
untuk kau sandarkan, buat pedoman.
Jangan manis terus ditelan,
pahit terus dibuang, itu bidalan.
Harus kau renungkan.

Andai, kau beroleh bahagia,
ingat itu bukan, untuk selamanya.
Andai, kau dalam sengsara,
ingat itu bukan, untuk selamanya.
Hidup ini sementara.

p/s: Syukran kasir saya ucapkan kepada kak long Ayuni sebab memberi semangat untuk saya tulis artikel ini. Atas sawang yang sekian lama, a[abila beliau suruh maka terhasillah artikel ini. Semoga menfaat. ^_^

1 pandangan cinta:

bonafidie said...

erm sya pn msh terikat dngan ikatan persudaraan,tp saudara sya tu ustaz sya pn xpsti mngapa dia pun xnk mengalah,sya pun amt brhrp maaf kmi diterma ALLAH wlupun tidak diterima oleh sudara sy

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Copyright © NOTA CINTA Design by Muhammad Salman al Farisi | Blogger Theme by Al Irani Muhammad | Powered by Blogger